LEBIH 7,000 sekolah musnah akibat konflik yang semakin meruncing di Ethiopia, dengan 1.42 juta murid di wilayah bergolak Tigray keciciran, kata menteri pendidikan.
Tigray bergolak sejak November tahun lalu, selepas Perdana Menteri Abiy Ahmed Alie mengerahkan tentera ke wilayah itu bagi menggulingkan bekas parti pemerintah Tigray People’s Liberation Front (TPLF).
Abiy berkata langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan TPLF ke atas kem tentera.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2019 itu juga berjanji perang akan segera ditamatkan, namun ia berlanjutan selama berbulan-bulan sehingga mencetus krisis kemanusiaan di Tigray. Pemberontak pula telah berjaya menembusi wilayah Afar dan Amhara.
“Lebih daripada 7,000 sekolah telah musnah sepenuhnya akibat perang sia-sia TPLF di utara Ethiopia di Tigray, Afar dan Amhara,” kata Menteri Pendidikan Getahun Mekuria di Twitter pada Isnin. Keciciran 1.42 juta murid begitu menyedihkan, tambah beliau.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan jumlah korban kemanusiaan di Tigray meningkat, selain 400,000 orang berdepan krisis kebuluran.
Khamis minggu lalu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata bantuan kemanusiaan ke Tigray terhenti sejak 20 Ogos susulan kenderaan membawa bekalan tidak dibenarkan masuk ke wilayah itu.
“Stok makanan sudah habis, bantuan baru pula terhenti,” menurut kenyataan ringkas OCHA.
Kerajaan Abiy dan pemberontak di Tigray saling menuding jari, menyalahkan antara satu sama lain menyebabkan penduduk kebuluran.
Ketua agensi bantuan Amerik Syarikat Samantha Power awal bulan ini mendakwa kerajaan menyekat bantuan kemanusiaan ke Tigray, namun jurucakap Abiy menafikan tuduhan tersebut.
Menurut OCHA, lebih 5.5 juta penduduk Tigray memerlukan bantuan makanan, manakala lebih 3,000 orang lagi di Afar dan Amhara hilang tempat tinggal. – AFP, 1 September, 2021.
Komen