PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam berkata pengunduran sepenuhnya tentera negara itu dari Afghanistan tidak dibuat secara tergesa-gesa malah keputusan yang tepat.
Biden ketika berucap di White House semalam turut menegaskan tidak akan menghantar lagi tentera untuk berperang dalam perang yang tidak akan habis, malah mengakui keputusan itu sepatutnya dibuat sejak dulu lagi.
Presiden itu dikecam pembangkang dari Republikan yang menyifatkan pengunduran tentera dari Afghanistan adalah keputusan terburu-buru.
“Saya tidak akan meneruskan perang yang tidak akan habis ini, dan tidak akan melanjutkan tarikh untuk berundur,” katanya, menambah operasi pemindahan telah dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam ucapannya, Biden menjelaskan perang di Afghanistan sejak 20 tahun lalu menelas kos sehingga AS$2.3 trilion dan meragut nyawa 2,400 tentera AS.
“Saya bertanggungjawab atas keputusan ini. Saya telah berjanji kepada rakyat AS untuk menamatkan perang.
“Sudah tiba masanya untuk kita jujur pada diri sendiri. Selepas 20 tahun di Afghanistan, saya tidak mahu lagi menghantar generasi muda kita berperang,” katanya. – AFP, 1 September, 2021.
Komen