265 kes varian Delta dikesan dalam tempoh 2 minggu


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC, terdapat sebanyak 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos 2021.

KAJIAN berterusan oleh tiga institut penyelidikan di negara ini mengenal pasti 265 kes varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) sejak 16 hingga 29 Ogos. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 39 kes varian Delta, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (48 kes) dan Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (178 kes).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diwaspadai (VOI) adalah sebanyak 1,221 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,201 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC, terdapat sebanyak 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Bagi VOI pula terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta. – Bernama, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen