KIRA-KIRA 50% peniaga pasar malam di Lembah Klang memutuskan untuk tidak membuka gerai mereka setelah mengambil kira jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi, kata beberapa peruncit.
Pasar malam tidak dibenarkan beroperasi sejak 1 Jun apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ketiga bagi membendung wabak Covid-19.
Bagaimanapun, sekatan ini ditarik semula pada 16 Ogos.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor dan Kuala Lumpur Tan Luan Huat ketika ditemui The Malaysian Insight memberitahu hanya 50% pengusaha pasar malam memulakan perniagaan di Lembah Klang.
“Sebab utamanya ialah mereka merasakan wabak itu masih teruk dan mereka tidak berani berniaga dalam keadaan seperti ini,” katanya.
“Malah, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes harian tertinggi secara konsisten, jadi mereka masih menunggu buat sementara waktu.
“Ada juga yang belum lengkap divaksin. Mereka mendapat dos kedua pula belum menyelesaikan tempoh 14 hari. Yang lain masih menunggu temu janji. “
Seseorang dianggap lengkap vaksin hanya selepas 14 hari setelah menerima dos kedua bagi vaksin dua dos manakala 28 hari untuk vaksin satu dos.
.jpg)
Tan berkata mereka yang membuka semula mengalami penurunan 60% pelanggan.
“Penjual kecewa kerana perniagaan tidak kembali kepada normal kerana pelanggan tidak mengunjungi pasar malam.
“Ini diburukkan lagi dengan syarat kerajaan di mana hanya orang yang lengkap divaksin dapat mengunjungi tempat ini.
“Namun, kami setuju dengan langkah ini untuk memastikan jangkitan tidak merebak. Saya percaya ini hanya sementara dan kami akan bekerjasama,” kata Tan sambil menambah apa yang paling penting ialah mereka dibenarkan beroperasi semula.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kepong Deric Teh Siong Lieng berkata beliau ditugaskan untuk mengumpulkan data vaksinasi penjual bagi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Maklumat dari beberapa pasar di Jinjang Utara dan Selatan telah disampaikan kepada DBKL. Mereka harus luluskan dalam minggu ini,” katanya.
Teh berkata di Kepong, terdapat enam pasar dan 15 pasar malam yang menjadi ahli persatuan tersebut. Setakat ini, katanya, hanya peniaga pasar memilih untuk membuka semula.
“Peniaga pasar malam menyatakan mereka tidak mahu memulakan perniagaan buat masa ini, jadi kami menghormati kemahuan mereka.
“Apabila ramai peniaga memutuskan untuk membuka semula, kita akan upah pengawal dan tempatkan di pintu masuk bagi memeriksa pengunjung.” – 1 September, 2021.
Komen