70% populasi dewasa EU lengkap vaksin


Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata EU mencapai sasaran vaksinasi apabila 70% populasi dewasa lengkap divaksin pada penghujung musim panas. – Gambar EPA, 31 Ogos 2021.

KIRA-KIRA 70% populasi dewasa dalam Kesatuan Eropah (EU) kini lengkap diberi vaksin Covid-19 sekali gus mencapai sasaran penghujung musim panas yang ditetapkan blok itu pada Januari lalu, kata presidennya, Ursula von der Leyen.

“Hari ini kami mencapai perbatuan penting dalam kempen vaksinasi kami. 70% populasi dewasa di EU kini lengkap diberi vaksin dan ini bermakna 250 juta orang diberi imunisasi sepenuhnya,” kata Von der Leyen dalam satu video yang disiarkan dalam talian.

Von der Leyen yang mengetuai Suruhanjaya Eropah bertanggungjawab memesan vaksin untuk 27 negara anggota EU dan telah mengumumkan 70% populasi dewasa EU menerima sekurang-kurangnya satu dos pada Julai.

Pertarungan global terhadap pandemik coronavirus kini didominasi pertempuran membendung varian Delta – varian Covid-19 yang pantas merebak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia bimbang wabak itu mampu mengorbankan 236,000 nyawa di Eropah pada 1 Disember dan menyatakan keprihatinannya mengenai tahap vaksinasi tidak stabil di benua itu.

Sementara itu, Brussels menegaskan EU perlu mengurangkan “jurang membimbangkan” dalam kadar vaksinasi antara negara anggota dan mendesak pihak berkuasa untuk bersiap sedia dengan dos baharu bagi meningkatkan kekebalan jika data saintifik mengesahkan keperluannya.

Kadar populasi dewasa yang lengkap divaksinasi adalah sekitar 20% di Bulgaria, 32.8% di Romania, 49% di Slovakia dan 58.1% di Poland.

Menurut, Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Eropah (ECDC) tahap vaksinasi di Perancis adalah 72.5%, Jerman (70.6%), Sepanyol (76.7%) dan Ireland (85.5%). – AFP, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen