PKPD di 4 lokaliti di Pahang, Sabah mulai Khamis 


EMPAT lokaliti, masing-masing dua di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 2 hingga 15 September ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad.

Beliau berkata lokaliti di Pahang melibatkan Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di mukim Bebar daerah Pekan, manakala di Sabah ialah Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih) di Ranau.

“Sementara itu, PKPD di Taman Ria Height di Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 15 September,” katanya dalam kenyataan perlaksanaan PKPD hari ini.

Dalam pada itu, PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu Felda Jenderak Utara, Kuala Krau di Temerloh dan Ladang Selbourne, mukim Gua di Lipis serta beberapa kawasan di Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Payas-Payas di Kota Belud; Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park (Penampang); Kampung Iburu dan Kampung Meligan (Sipitang); Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9 (Lahad Datu) serta Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1 (Beluran).

PKPD di Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Danau di Kota Belud juga ditamatkan esok, lebih awal daripada jadual asal pada 4 September. – Bernama, 31 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen