POLIS Kelantan tidak meluluskan sebarang permohonan konvoi kenderaan oleh mana-mana individu atau kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata ini kerana aktiviti konvoi akan menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Justeru, saya menasihatkan orang ramai khasnya warga negeri ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti konvoi kenderaan mahupun melakukan sebarang perjumpaan di lokasi tumpuan sewaktu negara masih berdepan pandemik Covid-19.
“Patuhilah arahan semasa pihak kerajaan bagi membendung dan memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafien berkata pihaknya akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada sesiapa yang gagal mematuhinya. – Bernama, 31 Ogos, 2021.
Komen