PANDEMIK Covid-19 hanya akan dapat diatasi dengan perpaduan rakyat berbilang kaum melawannya, dengan semangat dan tekad yang sama yang membebaskan negara daripada penjajah lebih enam dekad lalu, titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengulangi nasihat agar pemimpin “menolak perbezaan pendapat dan mengenepikan pertikaian politik” untuk sama-sama menangani pandemik.
Dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat mengambil semangat cintakan tanah air yang telah menyatupadukan rakyat sehingga dapat mencapai kemerdekaan.
“Seri Paduka menzahirkan pandangan sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya negara juga berupaya untuk merdeka daripada ancaman pandemik Covid-19 buat selama-lamanya,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.
Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong berpandangan kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk negara menghadapi segala cabaran termasuk Covid-19.
Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus menjaga kesihatan dan bersama-sama mewujudkan persekitaran yang selamat untuk membendung penularan wabak.
Mereka yang tidak bertanggungjawab melanggar peraturan pencegahan penyakit yang ditetapkan “hanya membawa musibah kepada masyarakat” dan menggugat pelan pemulihan negara yang dirangka.
Susun pelan tindakan
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru kerajaan supaya terus menyusun pelan tindakan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19, dengan semangat “Malaysia Prihatin” yang menjadi tema Hari Kebangsaan.
Dengan semangat sama, Al-Sultan Abdullah juga mahu kerajaan merangka pelan untuk mengembalikan iklim ekonomi Malaysia yang sihat.
“Rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini,” kata Ahmad Fadil.
Mengenai program vaksinasi Covid-19, Yang di-Pertuan Agong mahu ia diperkasakan untuk mencapai tahap imuniti kelompok.
Seri Paduka Baginda juga mahu rakyat berpegang pada semangat “Malaysia Prihatin” dan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.
Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan daripada pelbagai sektor yang menabur khidmat bakti dalam usaha melawan pandemik ini. – 31 Ogos, 2021.
Komen