Kaji semula dasar kuarantin kendiri kes Covid-19


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) harus segera kaji balik dasar kuarantin kendiri pesakit positif Covid-19.

Dasar kuarantin kendiri ini tidak mengurangkan jumlah kes positif Covid-19, tetapi menjadi salah satu punca penularan. 

Bagi mengatasi penularan kes lebih serius, KKM harus segera membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Sementara di setiap kawasan Parlimen di Pulau Pinang, sekurang-kurangnya di setiap daerah untuk menilai, mengawasi dan merawat pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2. 

Saya berharap Menteri Kesihatan baharu Khairy Jamaluddin tidak akan berlengah lagi dalam hal ini, dan bertindak segera. 

Sejak beberapa minggu lepas, kita dapat lihat KKM sedang “downplay” angka jangkitan Covid-19 harian dengan menunjukkan pesakit Kategori 1 dan 2 adalah terbanyak dari jumlah jangkitan baharu. 

Mungkin kementerian tidak mahu rakyat berasa panik; hakikatnya Kategori 1 dan 2 itu bukanlah satu berita baik. 

Kalau kementerian ingin menyatakan angka jangkitan tinggi bukan sesuatu yang harus dibimbangkan oleh rakyat, bolehkah kementerian juga nyatakan berapa pesakit Kategori 1 dan 2 masuk ke Kategori 3, 4 dan 5 ataupun terus meninggal dunia, dan dibawa brought-in-death ke hospital setiap hari? 

Sejak beberapa minggu lepas, ramai individu yang didapati positif dalam saringan Covid-19, diarahkan untuk kuarantin diri mereka di kediaman masing-masing, kerana mereka adalah pesakit Kategori 1, yang tidak mempunyai simptom.

Mereka tidak diberi apa-apa panduan kesihatan semasa tempoh kuarantin diri ini. 

Mereka yang peka dan mempunyai akses kepada maklumat terkini, mengambil langkah berjaga-jaga seperti mendapatkan oximeter untuk mengawasi tahap oksigen mereka dan mengambil ubat dan vitamin untuk menguatkan sistem imuniti mereka. 

Mereka yang tiada bimbingan atau panduan pula, hanya kuarantin diri mereka tanpa apa-apa rawatan, menunggu arahan daripada KKM. 

Dalam keadaan ini, ada kes di mana keadaan pesakit Kategori 1 tiba-tiba menjadi tenat dan ada juga meninggal dunia di rumah mereka sendiri. 

Keadaan semasa sistem kesihatan negara kita bukan lagi rahsia, tetapi sudah diketahui umum bahawa ia telahpun rebah.

Hospital kita tidak lagi mampu menampung pesakit; malah kekurangan kakitangan kesihatan juga menjadi masalah utama kementerian. 

Walaupun sistem kesihatan kita sedang rebah, kerajaan tidak boleh lepas tangan, dengan menyatakan pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 tidak perlukan rawatan. 

Setiap rakyat Malaysia harus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. 

Saya sendiri menyaksikan sebuah keluarga kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam selang masa 4 hari, yang dikategorikan sebagai pesakit Kategori 1 dan diarah kuarantin diri di rumah, tanpa apa-apa panduan ataupun nasihat kesihatan. 

Bagaimanakah saya boleh tenangkan keluarga ini, yang ibu bapanya jelas dinafikan akses kepada perkhidmatan kesihatan, kerana ketiadaan tempat di hospital dan kekurangan sumber manusia dalam sektor kesihatan? 

Daripada terus mempercayai dan cuba “yakinkan” rakyat bahawa Kategori 1 dan 2 adalah bukan isu yang serius, KKM harus segera mengatasi masalah ini. 

Ini bukanya masa untuk terus berada dalam “denial syndrome”. 

KKM di setiap negeri, khususnya di Pulau Pinang seharusnya meminta kerajaan negeri menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Sementara untuk kesemua pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2. 

Tidak salah untuk minta kerajaan negeri dan kalau perlu boleh minta sektor swasta, NGO-NGO seperti Tzu Chi, malah tentera untuk kerah kakitangan dan sukarelawan kesihatan. 

Ini bukan masa untuk terus terjebak dalam birokrasi dan pemusatan kuasa di Putrajaya.

Kes harian di Pulau Pinang mula membimbangkan rakyat negeri kami. Kalau trend sekarang berterusan, dalam sepuluh hari mungkin 10% populasi Pulau Pinang sudahpun dijangkiti Covid-19. 

Walaupun vaksin dilihat sebagai penyelamat, ia bukannya menghentikan jangkitan daripada merebak terus. 

Dalam keadaan ini, nyawa golongan yang tidak divaksin, iaitu mereka yang berumur di bawah 18 tahun, khususnya kanak-kanak pula akan mula terancam. 

Bagi mengatasi masalah ini, KKM harus segera membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 sementara di setiap kawasan parlimen di Pulau Pinang supaya pesakit Kategori 1 dan 2 dapat diasingkan diberi akses kepada perkhidmatan kesihatan yang wajar. 

Saya berharap menteri kesihatan akan menjalankan peranannya mengikut perlembagaan persekutuan dengan berkongsi maklumat dan tanggungjawab dengan kerajaan negeri. 

Kesihatan awam, kebersihan dan mencegah penyakit adalah tanggungjawab bersama kerajaan persekutuan dan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan; janganlah ia dilepas pandang oleh Putrajaya. – 31 Ogos, 2021.

* Satees Muniandy, Adun Bagan Dalam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen