Tentera AS tinggalkan Afghanistan, akhiri perang 20 tahun


Sebilangan besar rakyat Afghanistan yang dipindahkan bekerja untuk tentera AS dan kedutaan serta negara lain dalam gabungan antarabangsa. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2021.

TENTERA Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengunduran pasukannya yang terakhir dari Afghanistan semalam, menamatkan konflik 20 tahun yang berakhir dengan Taliban merampas kawalan negara itu.

“Saya di sini untuk mengumumkan selesainya pengunduran kami dari Afghanistan dan berakhirnya misi ketenteraan bagi pemindahan warga Amerika,” kata Jeneral Kenneth McKenzie, ketua Komando Pusat AS.

Penerbangan terakhir, pesawat tentera besar C-17 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai satu minit sebelum tengah malam waktu Kabul, kata McKenzie.

Di dalamnya terdapat tentera AS, komandan mereka, dan Duta Besar AS Ross Wilson, yang meninggalkan sebuah kedutaan tertutup yang suatu ketika pernah didatangi ratusan diplomat.

Ia berlaku selepas pesawat membawa kira-kira 123,000 warga asing dan Afghanistan yang melarikan diri dari Taliban.

Penerbangan terakhir berangkat di bawah keselamatan ketat susulan dua serangan semasa operasi pemindahan dua minggu oleh Islamic State-Khorasan - insiden bom bunuh diri yang menyebabkan lebih 100 orang mati, termasuk 13 tentera AS.

Awal tahun ini, Presiden AS Joe Biden menetapkan tarikh akhir 31 Ogos bagi pasukan AS berundur dari Afghanistan.

Sebilangan besar rakyat Afghanistan yang dipindahkan bekerja untuk tentera AS dan kedutaan serta negara lain dalam gabungan antarabangsa.

McKenzie berkata ia berakhir kira-kira 12 jam sebelum penerbangan terakhir dan beberapa ratus warga AS masih tertinggal.

“Terdapat ramai yang kecewa dengan pemindahan ini. Kami tidak dapat membawa keluar semua orang yang kami mahu bawa,” kata McKenzie.

“Tetapi saya rasa jika kami tinggal 10 hari lagi, kami tidak akan mengeluarkan semua orang yang kita mahu.”

“Tiada yang tertinggal di lapangan terbang,” tambahnya.

Beliau berkata Taliban sangat membantu dalam proses pemindahan dan menjaga keamanan di sekitar lapangan terbang, meskipun ada permusuhan mendalam antara kedua belah pihak.

Pasukan AS mengetuai gabungan NATO untuk mengeluarkan Taliban daripada kekuasaan pada 2001 selepas serangan 11 September 2001 ke atas AS oleh Al-Qaeda, yang berpusat di Afghanistan dan dilindungi oleh Taliban.

Bunyi tembakan terdengar di seluruh Kabul selepas tentera AS mengesahkan pengunduran bagi mengakhiri perang 20 tahun. – AFP, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen