SEBANYAK 361,381 dos suntikan Covid-19 diberikan semalam, dengan jumlah keseluruhan dos kini meningkat kepada 34,388,929.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata sebanyak 181,281 orang menerima dos pertama sementara 180,100 lagi dos kedua.
Justeru, ia menjadikan 63.3% atau 14,828,690 juta populasi dewasa kini sudah mendapat vaksin lengkap sementara 83.6% atau 19,560,239 menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Labuan mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dengan 93.5% (64,048) populasi dewasa divaksinasi lengkap, diikuti Lembah Klang 91.1% (5,614,989) dan Sarawak pada 86.8% (1,773,015).
Negeri dengan kadar vaksinasi terendah adalah Sabah, dengan hanya 38.7% atau 1,068,277 populasi dewasa mendapat vaksinasi lengkap.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada pemberian vaksin sebanyak dan secepat mungkin kerana vaksin terbukti memberi kesan positif terhadap Covid-19.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Dr Adham Baba berkata vaksin CanSino dan Sinovac akan digunakan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di enam negeri yang belum memvaksinasi 50% daripada populasi orang dewasa mereka.
Enam negeri itu adalah Perak (47.5%), Terengganu (47.5%), Johor (47.0%), Kedah (45.2%), Kelantan (44.8%) dan Sabah (38.7%). – 31 Ogos, 2021.
Komen