Saintis Afrika Selatan pantau varian baharu koronavirus


Afrika Selatan adalah negara paling teruk di benua itu yang dilanda dengan lebih 2.7 juta kes Covid dilaporkan setakat ini. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2021.

SAINTIS di Afrika Selatan memantau varian baharu koronavirus dengan kadar mutasi luar biasa tinggi, yang frekuensinya secara beransur-ansur meningkat dalam beberapa bulan terakhir, kata Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) pada Isnin.

Varian dikenali sebagai C.1.2., diberi amaran minggu lalu oleh KwaZulu-Natal Research and Innovation and Sequencing Platform dalam kajian pra cetak yang belum kaji semula.

Walaupun sebilangan besar kes koronavirus Afrika Selatan pada masa ini disebabkan oleh varian Delta - pertama kali dikesan di India - C.1.2. menarik perhatian saintis kerana mutasinya hampir dua kali lebih cepat daripada yang dilihat dalam varian global lain.

Bagaimanapun, frekuensinya masih rendah dan setakat ini dikesan kurang 3% jujukan genom sejak pertama kali diambil pada Mei - walaupun ia meningkat dari 0.2 kepada 2% pada bulan lalu.

Saintis NICD pada Isnin berkata C.1.2. hanya “wujud pada tahap yang sangat rendah” dan terlalu awal untuk meramalkan bagaimana ia boleh berkembang.

“Pada tahap ini kita tidak memiliki data eksperimen untuk mengesahkan bagaimana ia bereaksi dari segi kepekaan terhadap antibodi,” kata penyelidik NICD Penny Moore semasa taklimat media secara maya.

Tetapi “kami sangat yakin vaksin yang diberi di Afrika Selatan akan terus melindungi kami dari penyakit serius dan kematian,” tambahnya.

Setakat ini C.1.2 dikesan di sembilan wilayah Afrika Selatan, serta di bahagian lain dunia termasuk China, Mauritius, New Zealand dan Britain.

Namun demikian, ia tidak memadai untuk dianggap sebagai “varian diwaspadai” atau “varian membimbangkan” seperti varian Delta dan Beta yang sangat mudah menular, yang muncul di Afrika Selatan akhir tahun lalu.

Afrika Selatan adalah negara paling teruk di benua itu yang dilanda dengan lebih 2.7 juta kes Covid dilaporkan setakat ini dan sekurang-kurangnya 81,830 orang meninggal dunia.

Varian Beta menyebabkan gelombang jangkitan kedua pada Disember dan Januari, dan negara itu kini bergelut dengan gelombang ketiga susulan varian Delta. – AFP, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen