Siasat cubaan rasuah beli sijil vaksinasi Covid-19, gesa MMA


Beberapa doktor klinik swasta baru-baru ini mendedahkan mereka ditawarkan oleh golongan anti-vaksin bayaran tertentu untuk mengeluarkan sijil palsu vaksinasi lengkap Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

POLIS dan agensi antirasuah mesti menyiasat cubaan merasuah doktor untuk mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan pelali Covid-19, gesa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)

Presidennya Dr Subramaniam Muniandy berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memandang serius pendedahan media mengenai perbuatan itu.

“Mereka yang didapat terlibat hendaklah didakwa mengikut undang-undang antirasuah.

“Kami menggesa PDRM dan SPRM supaya membuka talian khas untuk aduan kegiatan seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Subramaniam juga mengingatkan semua doktor supaya tetap mempertahankan etika perubatan.

Beberapa doktor klinik swasta baru-baru ini mendedahkan mereka ditawarkan oleh golongan anti-vaksin bayaran tertentu untuk mengeluarkan sijil palsu vaksinasi lengkap Covid-19.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow juga dipetik media mengesahkan wujud percubaan rasuah seumpama itu.

Media melaporkan ada yang menawarkan sehingga RM1,000 untuk mendapatkan pengesahan palsu sudah disuntik vaksin.

Golongan ini sanggup merasuah untuk mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 selepas Majlis Keselamatan Negara melonggarkan pergerakan mereka yang sudah lengkap menerima pelali berkenaan, misalnya untuk makan di tempat di restoran dan kedai makan.

Hampir semua pusat membeli belah juga sedang dalam proses menguatkuasakan peraturan kebenaran masuk hanya kepada mereka yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Pada masa ini, pengesahan suntikan vaksin dikeluarkan secara digital melalui aplikasi MySejahtera, yang turut dilengkapi dengan kod QR yang boleh diimbas menggunakan sebuah aplikasi khas. – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen