Bagaimana Kabinet Ismail Sabri boleh jadi lebih dinamik


#KamiMalaysia memerhati perlaksanaan 100 hari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri Yaakob termasuk pelantikan barisan Jemaah Menteri, 27 Ogos lalu.

#KamiMalaysia berpendapat lantikan yang dibuat masih mengetengahkan muka-muka lama dalam pentadbiran kerajaan terdahulu. Hampir 90% daripada 69 orang barisan menteri dan timbalan menteri adalah pemimpin yang sama. 

Kabinet ini bukan hanya satu kitar semula (seperti dikatakan sebahagian rakyat) malahan ia tidak memenuhi aspirasi dan permintaan warga yang mahukan kabinet yang kecil, disertai oleh kepimpinan yang berkualiti dan berkredibiliti, dan jauh sekali mampu mengetepikan kepentingan politik parti yang sempit dengan membentuk kerajaan perpaduan merentas parti.

Kabinet ini juga dilihat tidak mencerminkan budaya politik baharu seperti yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, di mana ia masih sangat partisan, tidak menampakkan kesatuan politik merentas parti dan untuk fokus kepada penyelesaian isu semasa.

Sepertimana Agong menegaskan “kemelut dan kecelaruan politik” harus diselesaikan segera dan rakyat tidak wajar dibebankan kesan dari kemelut politik ini.

Baginda mengulangi dengan nada bahawa ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

Kabinet ini dilihat mengulangi kegagalan politik untuk meletakkan kepentingan politik di atas kepentingan rakyat. Ia dilihat satu tindakan kepimpinan utama mengadakan kompromi politik untuk menjaga kepentingan pelbagai kuasa-kuasa politik dalaman dalam kerajaan yang masih mahu berebut jawatan. 

Malangnya, permainan politik ini terus berlaku disaat negara terus berada pada tahap kritikal dan mencemaskan dalam menangani pandemik dan kesan pandemik kepada kesihatan, ekonomi, impak kepada PKS, ketenteraman dan kewarasan rakyat dan sebagainya.

Di samping itu juga, daripada barisan Jemaah Menteri yang dilantik, hanya 1 pemimpin dari golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dan 10% adalah pemimpin wanita.

Sedikit menghampakan untuk menyaksikan hanya seorang daripada golongan teknokrat atau profesional yang dilantik sebagai menteri Kabinet.

Malahan muka-muka lama politik masih terus diketengahkan walaupun tuntutan rakyat mahu melihat mukamuka baharu dalam kepimpinan negara tanpa beban politik lama (old political baggage). 

#KamiMalaysia berpandangan barisan pemimpin baharu negara haruslah lebih dinamik dan kompeten untuk menerajui kerajaan.

Tempoh 100 hari yang diminta oleh perdana menteri tidak harus dilihat sebagai waktu untuk merancang semula, namun untuk memperbetul dan menghasilkan impak yang sepatutnya (turn around) dengan kejelasan polisi (policy clarity) yang boleh dipertahankan secara telus dan terbuka.

Sekiranya boleh dibandingkan dengan komposisi Kabinet Campuran Indonesia di bawah pimpinan Presiden Jokowi. Komposisi “Kabinet Indonesia Maju” yang seimbang antara pemimpin muda dan tua, antara ahli politik dan profesional, selain perlantikan anggota parti pembangkang sebagai menteri. 

Ini membawa landasan yang betul dalam hala tuju pembangunan Indonesia ke arah yang lebih progresif.

Jika diikuti trend pelantikan pemimpin seluruh dunia, kita dapat melihatkan kecenderungan kebanyakan negara melantik orang muda dan profesional yang nonpartisan untuk menerajui kerajaan. 

Kanada misalnya, perdana menterinya Justin Trudeau mengetengahkan hampir 70% lantikan profesional non-partisan sebagai menteri kerajaan.

New Zealand pula dipimpin oleh Jacinta Adern, seorang perdana menteri wanita berumur 41 tahun dan ia merupakan antara negara paling berjaya menangani isu wabak Covid-19. 

Kedua-dua negara ini dikatakan menyaksikan pembangunan yang memberangsangkan sejak dari mula kepimpinan mereka.

Menurut beberapa tinjauan pandemik global seperti Indeks Pemulihanan Covid-19 Nikkei, Global Normalcy Index anjuran The Economist, dan penilaian CNBC mengenai Bursa Saham Malaysia, Malaysia kelihatan makin tercorot dan mula ditinggalkan oleh negara lain termasuk jiran kita Indonesia dalam beberapa aspek.

Apa yang dilihat ialah lantikan barisan Jemaah Menteri kali ini adalah sedikit ke belakang berbanding banyak negara serantau yang berani menukar dinamik pimpinan kerajaan.

Bagaimanapun, #KamiMalaysia masih mengharapkan agar perdana menteri masih boleh mempertimbangkan saranan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Kecemasan Negara sebagaimana yang disebut pelbagai pihak sebelum ini. 

Majlis ini perlulah dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang dan non-partisan lagi profesional untuk membantu Jemaah Menteri mengendalikan isu-isu pandemik Covid-19. Seterusnya, membawa negara keluar dari wabak ini agar hidup rakyat kembali normal dalam masa terdekat. 

Majlis ini seharusnya mempunyai kuasa dan bidang kuasa bagi pengurusan dan pelan pemulihan pandemik dan tidak terganggu oleh campur tangan politik.

#KamiMalaysia berpendirian, bagi mencapai hasrat ini, satu struktur pimpinan yang inklusif antara pelbagai pihak berkepentingan sama ada dari pihak kerajaan, swasta tempatan, NGO dan akademia adalah sangat penting. 

#KamiMalaysia melihat kerajaan-kerajaan sebelum ini gagal kerana sangat bersifat eksklusif dan tanpa perundingan yang bermakna terutama dengan pelbagai kumpulan pakar dan kumpulan berkepentingan serentak menunjukkan kegagalan dalam menampilkan demokrasi berpenyertaan (participatory democracy) yang sihat.

#KamiMalaysia masih yakin dan bertegas untuk rakyat mengambil pengajaran dari episod krisis politik-pandemik ini dengan membersihkan naratif dan budaya politik negara dan memastikan lantikan pemimpin itu adalah kompeten, bermoral, berintegriti dan bebas segala skandal rasuah dan salah guna kuasa untuk memastikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, mencapai potensinya yang sebenar dan kebajikan serta kemakmuran negara terjamin. – 30 Ogos, 2021.

* Nizam Mahshar, jurucakap #KamiMalaysia.

* #KamiMalaysia merupakan suatu inisiatif (gerakan) yang dipersetujui bersama oleh pelbagai organisasi dan individu bukan politik (non-partisan) yang bertujuan bersama-sama dan mengangkat suara warga Malaysia/ masyarakat untuk membebaskan dan memulihkan Malaysia daripada pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan yang paling utama kegagalan parti politik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen