MENTERI-menteri luar beberapa negara akan bersidang secara maya hari ini bagi membincangkan situasi di Afghanistan, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Sidang itu dianjurkan AS, sehari sebelum negara itu akan menamatkan operasi pemindahan warganya di Afghanistan. Operasi dijalankan selepas dua minggu Taliban berjaya menguasai semula Afghanistan.
Mesyuarat akan disertai wakil-wakil dari Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Turki, Qatar, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), menurut kenyataan Jabatan Negara AS.
“Peserta akan membincangkan pendekatan yang bersesuaian untuk hari dan minggu yang akan datang,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan bercakap mengenai perkembangan terkini usaha negara itu di Afghanistan selepas mesyuarat tersebut.
Sidang maya itu juga diadakan sehari selepas AS mendakwa ia memusnahkan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan melalui serangan udara di Kabul semalam.
Serangan udara itu dilancarkan jam selepas Presiden AS Joe Biden memberi amaran satu lagi serangan pengganas di Kabul, selepas kejadian letupan bom pada Khamis, yang menyebabkan lebih 100 orang mati termasuk 13 anggota tentera AS.
Sejak 15 Ogos lalu, seramai 114,000 orang berjaya dibawa keluar dari Afghanistan. – AFP, 30 Ogos, 2021.
Komen