11 maut bot bertembung di Peru


SEKURANG-kurangnya 11 orang maut selepas dua bot bertembung di Amazon di Peru semalam, manakala beberapa penumpang masih hilang, kata pihak berkuasa.

Kejadian berlaku pada 5.30 pagi waktu tempatan ketika kabus tebal di Sungai Huallaga di Muyuna.

“Setakat kini, belum dapat dipastikan berapa ramai yang hilang, manakala 11 maut dan enam cedera,” kata Institut Pertahanan Awam Kebangsaan dalam kenyataan.

Menurut stesen televisyen TV Peru, kemalangan membabitkan bot yang sarat dengan penumpang dan dalam perjalanan ke bandar Yurimaguas dengan sebuah lagi bot membawa barangan.

Operasi mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan membabitkan anggota penyelamat, pasukan bomba dan polis.

Mangsa yang terselamat berkata kira-kira 20 kanak-kanak menaiki bot penumpang berkenaan.

Kebanyakan penumpang dalam perjalanan pulang ke Yurimaguas selepas menyertai upacara keagamaan di sebuah lokasi dalam hutan terpencil. – AFP, 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen