MAHKAMAH Brazil menjatuhkan hukuman penjara 31 tahun kepada Francoise de Souza Oliveira kerana membunuh suaminya, Duta Greece Kyriakos Amiridis, kata pihak berkuasa semalam.
Amiridis berusia 59 tahun ketika dibunuh pada 2016, tinggal di Brasilia dan sedang bercuti Krismas bersama isteri dan anak perempuannya di Rio de Janeiro.
Beberapa hari selepas Krismas, mayat diplomat itu dijumpai di dalam kereta sewanya yang rentung di bawah jambatan, di kawasan perbandaran Nova Iguacu, dekat ibu negara.
Siasatan polis mendapati banyak petunjuk, termasuk darah di sofa dan rakaman kamera keselamatan, melibatkan Sergio Gomes Moreira Filho, pegawai polis dan kekasih Francoise.
Kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara 22 tahun, pada mulanya tanpa parol.
“Ia bukan jenayah biasa, kerana (duta) dibunuh semasa cuti Krismas ... dalam kes ini, keluarga ini musnah,” kata Hakim Anna Christina da Silveira Fernandes, dari Mahkamah Jenayah ke-4 Nova Iguacu.
Dalam penghakimannya, beliau menegaskan jenayah itu dirancang teliti oleh de Souza Oliveira.
“Menurut keterangan yang dikumpulkan, tertuduh merancang dan mengatur, menjadi dalang di sebalik seluruh plot yang mengerikan,” tambahnya.
Perbicaraan mempunyai defendan ketiga: Eduardo Moreira Tedeschi de Melo, saudara dari anggota polis, yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh tetapi dijatuhkan hukuman penjara setahun, kerana membantu menyembunyikan mayat.
Perbicaraan berlangsung selama tiga hari, hingga Jumaat dengan melibatkan 18 saksi.
Dalam keputusannya, hakim juga merujuk kepada tertuduh dengan kapasitinya sebagai penjawat awam.
“Beliau bersumpah untuk melindungi masyarakat dan bukan sebaliknya (...) mencemar pasukan polis dan semua kepercayaan yang diberikan negara,” katanya, merujuk kepada Sergio Gomes Moreira Filho.
Beliau menegaskan de Souza Oliveira, “yang menyebut dirinya sebagai duta, mencemarkan nama Brazil dan memalukan negara dengan tingkah lakunya, dengan kesan negatif daripada peristiwa tersebut.”
De Souza Oliveira dan Amiridis berkahwin pada 2004, ketika beliau menjadi konsul di Rio de Janeiro. – AFP, 30 Ogos, 2021.
Komen