AS musnahkan kenderaan sarat bahan letupan di Kabul


AS mengakui melakukan serangan dron di Kabul, Afghanistan, bagi mencegah serangan bunuh diri menggunakan kenderaan sarat dengan bom. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) berkata ia memeusnahkan sebuah kenderaan yang sarat bahan letupan dengan serangan udara di Kabul semalam, beberapa jam selepas Presiden Joe Biden memberi amaran mengenai serangan pengganas lain di ibu kota ketika proses pemindahan warga Afghanistan memasuki hari-hari terakhirnya.

Jurucakap Taliban mengesahkan kejadian itu, berkata bom kereta yang menyasarkan lapangan terbang sudah dimusnahkan - dan kemungkinan serangan kedua mengena sebuah rumah berdekatan.

AS berkata ia hanya menyasarkan kenderaan itu, tetapi menambah letupan kedua menunjukkan “sejumlah besar bahan letupan”.

Media tempatan melaporkan kemungkinan berlakunya korban jiwa, yang sedang dinilai oleh AS.

Serangan udara AS berlaku setelah pengebom bunuh diri daripada kumpulan Isis pada Khamis menyasarkan tentera AS yang menghentikan orang ramai memasuki lapangan terbang Kabul.

Kira-kira 114,000 orang dipindahkan sejak 15 Ogos, apabila Taliban kembali berkuasa.

Lebih 100 orang maut dalam serangan itu, termasuk 13 anggota perkhidmatan AS. 

Serangan dan ancaman keganasan memperlahankan usaha pemindahan menjelang tarikh akhirnya pada Selasa.

Semalam, Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata kira-kira 300 rakyat Amerika yang masih berada di Afghanistan berusaha meninggalkan negara itu.

“Mereka tidak akan terkandas di Afghanistan,” kata penasihat keselamatan negaral Jake Sullivan kepada rangkaian Fox, sambil menambah AS mempunyai “mekanisme untuk mengeluarkan mereka”.

Pada Sabtu, Pentagon berkata serangan dron membunuh dua pengganas Isis berprofil tinggi di timur Afghanistan. – AFP, 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen