Pelancongan dalam negeri sama masih lembab, kata pemain industri


Bernard Saw

Gelembung pelancongan Langkawi akan dilancarkan pada September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

TEMPAHAN pelancongan tidak selancar seperti diharapkan di sebalik kelonggaran bagi mereka yang sudah divaksinasi penuh untuk bercuti di dalam negeri yang sama, kata pemain industri.

Hanya jika larangan perjalanan antara negeri ditamatkan boleh membantu industri itu untuk pulih, ketika ramai berasakan ia lebih menarik berbanding percutian di negeri sendiri, jelas mereka.

Presiden Kebangsaan Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussien berkata, maklum balas terlalu perlahan sekalipun di negeri yang sudah berubah ke Fasa 2 pelan pemulihan negara.

“Tidak ramai yang mahu berkunjung untuk bercuti kecuali ke negeri lain, barulah kita akan lihat peningkatan dalam tempahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata satu daripada alasan keengganan mereka sekalipun dalam kalangan yang sudah divaksinasi penuh, adalah kebimbangan terhadap staf hotel mungkin tidak melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

“Bukan semua pekerja sudah divaksinasi penuh. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum ini mempromosi vaksinasi di pulau peranginan tertentu, namun masih ada hotel di kawasan bandar yang mempunyai staf belum divaksinasi,” kata Emmy.

Berkuat kuasa 10 Ogos, aktiviti pelancongan seperti penginapan di inap desa dan hotel dalam negeri sama, dibenarkan bagi yang sudah lengkap divaksinasi. Ia bermakna mereka sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 selain memenuhi 14 hari vaksin itu untuk efektif atau 28 hari bagi yang menerima vaksin satu dos.

Emmy berkata, ahli MyBHA melaporkan ada sedikit pertambahan dalam tempahan apabila larangan itu pertama kali ditamatkan namun ia merudum sejak itu.

Bagi memburukkan situasi, sesetengah negeri Fasa 2, yang mana pelancongan dalam negeri sama dibenarkan sebelum kelonggaran kepada yang lengkap divaksinasi, kini menunjukkan peningkatan dalam jangkitan Covid-19.

Negeri Fasa 2 adalah Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Ramai yang bimbang, malah mereka di negeri Fasa 2, kerana peningkatan dalam kes,” katanya.

Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (Mita) Uzaidi Udanis bersetuju tidak ada sebarang permintaan ketara dalam pasaran di sebalik kelonggaran itu.

“Negeri Sembilan baru saja memasuki Fasa 2 dan orang ramai boleh mengunjungi Port Dickson, namun maklum balas yang diterima belum memuaskan. Perlu tunggu seminggu atau dua lagi,” katanya.

Sesetengah hotel turut tidak tergesa-gesa untuk membuka perniagaan mereka seperti mana kedai makan yang tidak membenarkan ‘dine-in’ kepada mereka yang divaksinasi penuh sekalipun dibenar berbuat demikian.

Uzaidi berkata, restoran masih memilih untuk menawarkan makanan bawa pulang atau penghantaran untuk mengelakkan risiko pekerja mereka dijangkiti.

Kekurangan tenaga kerja dan mengelak risiko lain seperti didenda jika melakukan kesilapan turut menjadi alasan mereka.

“Sebuah restoran mungkin tidak mempunyai cukup pekerja untuk memenuhi keperluan memeriksa pelanggan yang masuk dan ini mencetus risiko untuk didenda,” katanya, merujuk kepada perlunya memeriksa suhu dan status risiko serta sijil digital vaksinasi pelanggan dalam aplikasi MySejahtera.

Bagi hotel, ia lebih sukar untuk membuka semula dan merancang tenaga kerja serta keperluan operasi lain apabila minat pelanggan tidak menentu.

“Jika hotel mahu melancarkan promosi, ia tidak mungkin segera. Mereka masih perlu bersiap sedia dan ia mengambil masa.”

Bagaimanapun, Uzaidi berkata, keputusan kerajaan membenarkan pelancongan dalam negeri sama tetap bagus kerana industri hotel tidak mampu ditutup begitu lama.

“Pasti ada banyak kerugian jika kami terus menangguhkannya, jadi kami mesti membukanya secepat mungkin dan cuba sedaya upaya untuk pulih.”

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan turut berkata hanya pelancongan antara negeri mampu memulihkan semula industri pelancongan.

Namun beliau bersetuju mereka perlu menunggu hingga epidemik Covid-19 di negeri yang terjejas teruk pulih semula.

“Apabila situasi pandemik semakin baik, maka industri pelancongan boleh berasa yakin untuk melancarkan promosi.

“Dan sebaik pelancong tempatan berasa selamat, ini akan memberi keyakinan kita boleh menerima pelancong asing semula.”

Tan berkata, gelembung pelancongan Langkawi, yang dijadualkan pada September, menjadi ujian penting bagi hab pelancongan di seluruh negara untuk melihat hasilnya.

Gelembung Langkawi diumumkan Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi perdana menteri interim pada 15 Ogos. Ia membenarkan hanya pelancong yang divaksinasi lengkap dari negeri lain untuk memasuki pulau cukai bebas itu apabila 80% daripada penduduknya sudah lengkap divaksinasi.

Laman web pelancongan Lifestyle Asia menyatakan Lembaga Pembangunan Langkawi bercadang untuk melancarkan gelembung pelancongan sebaik sasaran 80% dicapai pada minggu pertama September. – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen