Islamic Relief Malaysia hantar bantuan musim sejuk Rohingya


Seorang pelarian dilihat membawa bekalan air di kem Nayapara, Cox'z Bazaar. Sejak 1992, kem itu telah menerima pelarian yang dianggarkan seramai 10,000 orang. Sekarang ini, anggaran pelarian bertambah menjadi lebih kurang 19,000 orang. Kawasan ini dinamakan Brickfield kerana ia berada di atas tanah yang pernah menjadi kilang batu-bata suatu ketika dahulu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 21 Januari, 2018.

ISLAMIC Relief Malaysia (IRM) akan mengirim satu misi bantuan khas untuk pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh awal Februari ini biarpun negara itu akan mula menghantar pelarian terlibat pulang ke Myanmar seawal minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata fokus misi bantuan ini ialah menyediakan bekalan air bersih yang sangat diperlukan oleh pelarian terlibat.

“Kami menfokuskan Cox’s Bazaar kerana keadaan di kem-kem pelarian wilayah itu paling kritikal dan teruk terjejas,” kata Zairulshahfuddin dalam satu kenyataan.

IRM menetapkan sasaran menyiapkan empat telaga sumber air bersih di Cox’s Bazaar, tambahnya.

Selain itu, misi tujuh anggota itu juga membawa bekalan selimut, pakaian dan makanan untuk 20,000 pelarian yang kini turut terjejas akibat cuaca sejuk melampau.

IRM sebelum ini melancarkan rayuan bantuan dana kecemasan untuk Myanmar melalui laman webnya www.islamic-relief.org.my atau di talian 03-89263434.

IRM memiliki pengalaman serta kemahiran khas dalam program bekalan air bersih kerana telah melaksanakan projek yang sama di Mogadishu, Somalia pada awal tahun lalu.

Di Cox’s Bazaar, IRM akan bekerjasama dengan IR Bangladesh yang sudah beroperasi di negara itu selama 27 tahun. 

“Keadaan keselamatan juga dilaporkan stabil, dan kami telah meneliti semua faktor bagi memastikan misi ini berjaya serta mencapai matlamat,” kata Zairulshahfuddin.

Selain pakaian, selimut, bekalan makanan dan  telaga sumber air bersih, IRM turut menyasarkan untuk membina 25 buah tandas bagi mengurangkan bahaya wabak penyakit berjangkit akibat pencemaran kuman najis buangan.

“Fokus utama kami ialah menambahkan potensi sumber air bersih dan pelupusan najis buangan secara sistematis bagi mengekang ancaman wabak dan penyakit maut bawaan taun,” kata Zairulshahfuddin.

Bangladesh dan Myanmar Selasa lalu mencapai persetujuan menyelesaikan dalam masa dua tahun proses penghantaran pulang etnik Rohingya yang melarikan diri daripada pembantaian besar-besaran oleh tentera Myanmar bermula Ogos tahun lalu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu dan agensi bantuan pelariannya UNHCR bagaimanapun bimbang akan nasib pelarian yang akan dikirim pulang ke Myanmar itu.

Sejak Ogos lalu, lebih 650,000 etnik Rohingya menyeberang sempadan dari Myanmar ke Bangladesh untuk menyelamatkan diri daripada keganasan tentera Myanmar selepas meletusnya kekacauan di wilayah Rakhine.

Setakat ini, aktivis kemanusiaan merasakan belum ada lagi jaminan keselamatan ke atas pelarian terlibat walaupun Bangladesh dan Myanmar sudah mencapai kata sepakat mengenai proses menghantar pulang pelarian Rohingya di kem-kem sempadan ke kampung halaman di Rakhine.

Tindakan protes kumpulan ultra sami Buddha di Rakhine baru-baru ini, serta bukti-bukti terbaharu yang ditemui menunjukkan Tentera Myanmar terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai dan jenayah rogol, menjadi ancaman berterusan terhadap minoriti Muslim untuk kembali ke petempatan asal mereka.

Malah, hampir 90 peratus rumah penduduk Islam di kawasan yang ditinggalkan akibat keganasan sejak September 2012, kini musnah sepenuhnya.

Pada masa sama, di kem-kem yang sesak sepanjang sempadan Bangladesh, pelarian Rohingya kini berdepan dengan tiga krisis utama berikutan kekurangan bantuan, serta tiadanya program penyelarasan jangka panjang untuk mereka.

Antaranya, kekurangan makanan masalah kekurangan bekalan perubatan. Ketika ini juga, pelarian berdepan penderitaan kerana ketiadaan selimut dan pakaian tebal berikutan ancaman suhu sejuk melampau. Selain itu, kehidupan dan kesihatan turut terancam kerana masalah bekalan air yang tercemar. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen