Israel serang Gaza selepas insiden belon berapi


Serangan tentera udara Israel mengenai 2 kedudukan di Gaza. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2021.

TENTERA udara Israel menyerang 2 kedudukan di Gaza pada Ahad selepas penduduk Gaza bertembung dengan tentera di sempadan dan melancarkan belon berapi ke selatan Israel.

Perkembangan terbaharu itu hadir selepas Israel dan Mesir mengendurkan larangan terhadap urusan perniagaan dan kunjungan dikenakan terhadap Semenanjung Gaza, yang disekat kedua-dua negara sejak kumpulan pejuang Islam, Hamas mengepung wilayah Palestin itu pada 2007.

“Jet pejuang Israel mengenai kawasan tentera Hamas yang digunakan untuk membuat senjata dan latihan selain pintu masuk ke terowong bersebelahan Jabalia,” kata tentera Israel.

“Serangan ini sebagai tindak balas terhadap Hamas kerana melancarkan belon berapi ke wilayah Israel dan rusuhan keganasan yang berlaku semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tentera berkata, kedua-dua insiden adalah “contoh bagaimana Hamas terus melakukan taktik ganas dan menyasarkan orang awam.”

Tidak ada sebarang laporan dari Semenanjung Gaza mengenai kematian atau kecederaan disebabkan serangan udara Israel.

Bercakap di Washington selepas bertemu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett berkata, beliau menyalahkan Hamas bagi sebarang pergolakan dari wilayah Palestin.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, tindakan kami di Gaza adalah untuk menjaga kepentingan kami,” katanya kepada wartawan sebelum berlepas pulang ke Israel. – AFP, 29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen