Tragedi matinya pengundi


Haris Hauzah

La mort de l’électeur atau matinya pengundi barangkali adalah gambaran sebenar realiti politik dan demokrasi di Malaysia.

Walaupun ada yang mula teruja dengan pertemuan pimpinan pembangkang dengan perdana menteri baru-baru ini di Putrajaya, namun itu bukan jawapan kepada kematangan politik sebuah negara yang kini masuk 64 tahun merdeka. 

Struktur politik kepartian yang berakar dalam sistem demokrasi negara ini seakan menjerut leher rakyatnya.

Udara demokrasi yang bernafas dalam sistem politik mula tak terasa; seakan membunuh majoriti suara rakyat yang bersusah-payah menyuarakan mandat mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ada banyak kisah kegagalan yang bakal tercatat dalam sejarah negara ini dalam mengisi kemerdekaannya.

Kegagalan yang akan dicatat dalam sejarah itu boleh jadi tanda-tanda besar yang menghalang perkembangan politik dan ketulenan demokrasi yang lebih matang. 

Dosa daripada langkah-langkah kegagalan politik itu amatlah besar. Selain melenyapkan kebijaksanaan demokrasi dan kewarasan politik dalam pentadbiran, ia juga mengakibatkan kehilangan banyak jiwa dan punca kemelaratan rakyat yang lebih panjang apabila banyak kepentingan rakyat secara politik diketepikan dengan sengaja.

Kepongahan politik yang mengakibatkan keporak-perandaan pentadbiran itu nyaris menelangkupkan negara ini sepenuhnya. Sehinggalah campurtangan istana menjawab segala kekelam-kabutan yang menunggang-terbalikkan pentadbiran kerajaan.

Kematangan politik dan demokrasi tidak hanya berkisar pada episod pemilihan seorang perdana menteri, cerita pembentukan kerajaan yang memiliki nombor dan jumlah yang meyakinkan, serta cara parti-parti politik berlawan dalam pilihan raya semata. 

Ia malah jauh melangkau dari wilayah terhad itu – seperti melantik seorang perdana menteri wanita, memilih seorang timbalan perdana menteri dari kalangan bukan Melayu atau memberi lebih banyak ruang buat orang muda menjadi menteri misalnya.

Ketempangan politik dan demokrasi yang berlaku seperti jual beli kerusi serta tawar menawar jawatan dalam politik adalah pelacuran politik yang perlu dihentikan. Justeru ia harus dilakukan melalui pewujudan undang-undang dan polisi.

Menyaksikan parti politik yang menang pilihan raya ditelangkupkan melalui sistem demokrasi negara tentu saja mengundang rasa resah. Lihat saja bagaimana ordinan darurat sewenang-wenangnya digunakan demi kepentingan kuasa politik sampai memendam fungsi parlimen.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Malaysia melihat dan menilai semula perjalanan sistem politik dan demokrasinya.

Oleh kerana perkara-perkara ini melibatkan banyak sekali helah perundangan dan teknikal perlembagaan yang tidak mudah difahamkan. Justeru ia haruslah dimulakan dengan dialog dan forum. 

Segenap hal-hal perundangan dan perlembagaan, serta segala helah politik dan kelicikan sistem demokrasi harus dibedah, didedah dan diperbincangkan secara lebih berani, terus terang dan terbuka. Kemudian disusuli dengan polisi yang diluluskan parlimen. 

Inisiatif itu nanti paling tidak, dapat menonjolkan beberapa ketempangan dan kelompongan yang ada pada sistem politik dan demokrasi yang selama ini kita amalkan. 

Bayangkan saja kuasa untuk meluluskan sebuah parti baru seperti parti Muda itu saja sengaja disusahpayahkan. Sementara kuasa menetapkan tarikh dan hari pilihan raya adalah mutlak terletak di tangan perdana menteri yang sedang berkuasa. 

Semua ini harus dipersoalkan. Sekaligus dapat merintis jalan ketulenan demokrasi dan kematangan politik yang lebih menjanjikan.

Segala itu adalah langkah-langkah kecil bagi mengembalikan keyakinan politik dan demokrasi rakyat. Akibat dari penyundalan manipulasi demokrasi dan kemungkaran politik yang politikus tunjukkan. 

Seorang yang menjadi perdana menteri Malaysia pada tahun 2021 tidak harus hanya berani menabur janji.

Kononnya akan lebih banyak mendengar serta beri lebih suara dan tumpuan terhadap anak muda. Walhal ia hanyalah satu lagi gula-gula politik buat anak muda. 

Dinamika demokrasi dan cabaran politik negara ini dah banyak berbeza dengan apa yang negara ini ada pada tahun 1957.

Rintangan ekonomi dan krisis kesihatan yang ada hari ini memerlukan jalan politik dan sistem demokrasi yang lebih menjanjikan. 

Istilah la mort de l’électeur atau matinya pengundi timbul apabila kerajaan dan kepimpinan negara ditentukan oleh elitis yang sangat berkuasa tanpa mengambil kira suara mandat dalam pilihan raya.

Kelahapan sekumpulan politikus tanpa rasa tanggungjawab memakan setiap tiang yang ada pada rukun negara adalah suatu kecelakaan yang nyata.

Selagi sistem demokrasi dan jalan politik negara ini terdedah dengan segala macam manipulasi pemain politik, Malaysia tidak akan bergerak ke mana-mana. 

Malaysia akan kekal jadi negara yang bingung dalam politik dan demokrasinya. Pentadbiran negara akan terus dalam genggaman koruptor lantas kerana mereka mudah mempermainkan sistem yang ada.

Politik dan demokrasi tanpa rakyat harus dicarikan jalan penyelesaian. Gambaran la mort de l’électeur yang tergambar melalui visual-visual pemain politik terhegeh-hegeh keluar masuk pintu istana sambil melambai-lambai tangan adalah politik tanpa rakyat yang perlukan pencerahan.

Kerana politik dan demokrasi adalah suatu gerakan dari rakyat untuk rakyat.

Malaysia harus mengelak dari terjebak dengan gejala ‘pseudo democracy’. Iaitu sejenis demokrasi yang membangsatkan mandat rakyat yang telah meletakkan sepenuh kepercayaan pada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang diikat bersama ketatasusilaan moral politik dalam mendaulatkan sistem demokrasi negaranya. 

Jika ini tidak diperbaharui, rakyat akan putus asa dan berhenti mengharap. Rakyat akan mula menjauhkan diri mereka dari politik dan demokrasi yang dilihat tidak mempedulikan suara mereka hingga tergamak mengenepikan mandat pilihan raya.

Perkembangan ini berlaku setelah segala perjalanan demokrasi dan politik terlihat jahat. Pilihan raya yang mengangkat politik dan demokrasi menjadi suatu hal yang sia-sia dan membuang masa. Lantas kerana pada akhirnya yang menentukan kekuasaan negara adalah elitis dan bukannya mereka.

Rakyat perlu tahu perubahan sememangnya mengambil masa. Revolusi, reformasi dan transformasi sememangnya memaksa keberanian, iltizam dan usaha yang luar biasa.

Politikus yang tak pedulikan mandat pilihan raya itu tidak pernah kisah dengan kehormatan politik dan kesucian demokrasi. Kerana mereka tahu politikus tanpa kuasa adalah politikus ‘loser’. 

Justeru itu mereka tidak begitu kisah untuk mengembalikan mandat rakyat pada PRU14 yang telah mereka curi, khianat dan rampas memandangkan seluruh negara berhadapan dengan halangan untuk mengadakan pilihan raya.

Rakyat perlu sedar. Politikus sengaja menjadikan politik sedemikian keji dengan menjadikan demokrasi sebagai permainan yang boleh bila-bila saja mereka permainkan.

Kerana mereka mahu rakyat jadi geli, mual dan muak. Sampai rasa benci timbul pada politik hingga mengakibatkan rakyat enggan lagi terlibat dalam proses demokrasi sebagai pengundi. 

Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi pengekalan kuasa. Sekiranya semua ini berlaku, dengan penyokong super ultra dan pendokong politik ekstrem yang mereka ada, semakin mudahlah mereka dapat terus kekal berkuasa. Mungkin untuk selama 64 tahun lagi, ataupun selama-lamanya. – 29 Ogos, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen