Terengganu salur RM45,000 bantu nelayan, petani dan penternak positif Covid-19


Nelayan di Terengganu yang positif Covid-19 menerima bantuan tunai RM500 secara sekali bayar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2021.

KERAJAAN Terengganu menyalurkan RM45,000 untuk 90 nelayan, petani dan penternak positif Covid-19 bagi meringankan beban kewangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata kesemua mereka menerima bantuan tunai RM500 secara sekali bayar atau one-off.

“Senarai ini (nelayan, petani dan penternak) kita peroleh daripada Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pertubuhan Peladang setakat Jun 2021.

“Sumbangan telah diserah melalui program bersama komuniti nelayan, penternak dan petani di daerah yang terlibat secara berperingkat serta bantuan kewangan itu diharap dapat memberi kelegaan buat mereka yang tidak boleh keluar mencari rezeki sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan lesen sampan nelayan, bantuan ‘touch point’ (peralatan menangkap ikan), bantuan Covid-19 dan bakul makanan secara pandu lalu kepada 42 nelayan Marang di Pangkalan Merchang, hari ini.

Setakat ini seramai 80 nelayan, petani dan penternak di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang menerima bantuan tersebut manakala mereka di daerah Dungun dan Hulu Terengganu akan menikmati bantuan sama dalam masa terdekat.

Mengulas rungutan pengusaha keropok keping di Terengganu mengenai kekurangan stok isi ikan yang berlaku ketika ini, Azman berkata pihaknya akan mencari punca sebenar permasalahan itu.

“Memang kita ada terima rungutan ini, kita akan tengok beberapa sumber bekalan sebab biasanya stok isi ikan ini dibawa dari negeri lain dan bukan di Terengganu. Kebanyakan ikan di sini dijual dalam bentuk ikan segar dan bukan dibuat palet.

“Untuk stok isi ikan, kita akan tengok isu ini secara menyeluruh bersama Jabatan Perikanan untuk tahu di mana punca dan masalah hingga bekalan tak sampai. Semua daerah di Terengganu memang terlibat dengan industri keropok kecuali Hulu Terengganu,” katanya. – Bernama, 29 Ogos, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen