Belon berapi Gaza cetus kebakaran di Israel


Dua kebakaran itu tercetus di wilayah Eshkol, Israel berhampiran penempatan warga Palestin. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2021.

ANGGOTA bomba Israel semalam berusaha memadamkan kebakaran dicetuskan belon berapi dilancarkan dari Genting Gaza.

Dua kebakaran itu tercetus di wilayah Eshkol, Israel berhampiran penempatan warga Palestin, kata bomba dalam satu kenyataan, menambah yang pakar membuat kesimpulan ia tercetus kerana “belon berapi”.

Belon berapi adalah kaedah serangan biasa dilakukan pejuang Palestin di Genting Gaza.

Israel kemudiannya bertindak balas dengan serangan udara.

Awal hari ini, Kementerian Kesihatan Gaza berkata budak lelaki 12 tahun warga Palestin yang ditembak tentera Israel dalam satu pertempuran minggu lepas telah meninggal dunia.

Pertempuran yang berlaku pada 21 Ogos itu menyebabkan 40 orang cedera, menurut Hamas, termasuk seorang lelaki warga Palestin berusia 32 tahun yang meninggal dunia pada Rabu.

Seorang anggota polis Israel turut ditembak dan masih dalam keadaan kritikal.

Susulan pertempuran itu, Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan tapak pembuatan senjata dan simpanan kumpulan Hamas.

Israel sekali lagi menyerang Gaza pada Isnin dan Selasa sebagai tindak balas belon berapi yang mencetuskan kebakaran di Eskhol.

Pertempuran terbaru turut berlaku di sempadan Gaza dan Israel pada Rabu, tetapi tidak seburuk yang berlaku pada 21 Ogos lalu.

Tunjuk perasaan dijangka berlaku selepas beberapa pihak di Palestin menggesa ia dibuat bagi membantah sekatan Israel selama 15 tahun ke atas kawasan itu.

Israel melancarkan beberapa serangan di Gaza kerana belon berapi sejak gencatan senjata 21 Mei selama 11 hari tamat dalam konflik berdarah antara negara Yahudi dan pejuang di Gaza itu. – AFP,29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen