Harapan kepada Shahidan Kassim sebagai menteri WP


SAYA mengucapkan tahniah kepada kawan daripada parti lawan saya YB Shahidan Kassim, ahli Parlimen Arau atas pelantikan sebagai menteri Wilayah Persekutuan (WP). 

Beliau juga merupakan ahli politik yang berpengalaman yang pernah memegang jawatan bekas menteri besar Perlis dan bekas menteri Jabatan Perdana Menteri. 

Apabila beliau tidak memegang apa-apa jawatan di kerajaan pusat, beliau adalah “kaki bising” merangkap “kaki gaduh” di Dewan Rakyat.

Beliau suka berbahas dalam semua rang undang-undang dengan mengulangi point yang sama untuk menghentam parti pembangkang. 

Selain itu, beliau memang suka mengganggu ahli Parlimen parti pembangkang semasa kami berucap di Dewan Rakyat.

Saya selalu menghadapi gangguan dan cabaran daripada beliau apabila saya berucap membentangkan masalah dan isu Kuala Lumpur di Dewan Rakyat.

Saya gembira beliau dilantik menjadi menteri WP dan beliau harus mendengar pandangan ahli Parlimen Kuala Lumpur secara serius demi mentadbir ibu negara Malaysia dengan lebih berkesan.

Senarai harapan (wish list) saya terhadap beliau adalah seperti berikut:

1. Saya berharap sedar mengenai usaha kerajaan pusat selama ini yang ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Bertaraf Dunia (world-class city). 

Justeru, menteri WP mesti mempunyai minda yang berwawasan global untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang menarik peniaga dan pelancong dari seluruh dunia, dan menunaikan konsep dan slogan “Malaysia Truly Asia”. 

Bagi mencapai tujuan ini, menteri WP haruslah mengadakan lebih rundingan dengan pengusaha di pelbagai sektor di Kuala Lumpur, khususnya sektor restoran/F&B dan sektor pelancongan yang menarik kemasukan dana asing, sebelum kerajaan melaksanakan apa-apa peraturan baru termasuk SOP Covid yang mungkin akan menjejaskan bisnes mereka.    

2. Saya berharap beliau boleh menjadi menteri WP yang mesra rakyat dan mesra dengan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur. 

Saya berharap beliau tidak akan menjejak langkah bekas menteri WP Annuar Musa yang mengelak berjumpa dengan ahli Parlimen PH di Kuala Lumpur. 

Annuar hanya pernah mengadakan mesyuarat khas dengan Ahli Parlimen Kuala Lumpur sekali sahaja melalui talian pada bulan lepas sahaja.

3. Saya berharap beliau boleh mencontohi bekas menteri WP Tengku Adnan dan Khalid Samad untuk mengadakan mesyuarat berkala dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur bersama pegawai kanan DBKL. 

Mesyuarat ini memudahkan wakil rakyat Kuala Lumpur untuk membentangkan masalah dan isu di kawasan kami masing-masing di samping terima maklum balas daripada pegawai DBKL pada waktu yang sama.             

4. Saya berharap Shahidan boleh turun padang untuk memahami masalah rakyat pelbagai kaum di Kuala Lumpur. 

Saya juga berharap beliau boleh mengambil pandangan daripada wakil rakyat di Kuala Lumpur sebelum membuat apa-apa keputusan yang penting, seperti kelulusan projek pembangunan dan lain-lain perkara di kawasan kami masing-masing.   

5. Memandangkan menteri WP juga merupakan pengerusi mesyuarat MKN WP, saya berharap beliau menjemput ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk menyertai mesyuarat MKN WP, supaya kami boleh menjadi perantara atau “jambatan” antara MKN dengan rakyat di peringkat akar umbi dan sektor perniagaan di Kuala Lumpur.

6. Saya berharap Shahidan boleh memberi kuasa kepada ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk melantik anggota dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di zon-zon di bawah kawasan Parlimen kami masing-masing, supaya MPP boleh mengadakan kerjasama yang erat dengan pusat khidmat Ahli Parlimen untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.   

Shahidan pernah memegang jawatan menteri besar Perlis dan memang fasih dengan sistem pentadbiran di peringkat negeri.

Saya berharap beliau boleh mentadbir Kuala Lumpur sama seperti cara beliau mengetuai kerajaan negeri, dan melayan ahli Parlimen Kuala Lumpur seperti exco kerajaan negeri dengan mengadakan mesyuarat berkala dan kerjasama dengan kami.

Kerjasama erat antara menteri WP dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur bukan sahaja dapat mengurangkan konflik secara terbuka di antara ahli Parlimen dengan menteri WP, tetapi kerjasama di antara pihak Kementerian WP dan DBKL dengan wakil rakyat akan melicinkan pentadbiran kerajaan di Kuala Lumpur di samping mewujudkan keharmonian di dalam masyarakat Kuala Lumpur. – 29 Ogos, 2021

* Teresa Kok, ahli Parlimen Seputeh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen