PERANCIS dan Britain pada Isnin ini akan menggesa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentuk “zon selamat” di Kabul, Afghanistan bagi melindungi operasi kemanusiaan, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.
“Ini sangat penting. Ia akan menyediakan kerangka untuk PBB bertindak dalam situasi kecemasan,” kata Macron dalam rencana ditulis dalam majalah mingguan, du Dimanche.
Zon selamat itu juga akan membenarkan komuniti antarabangsa “untuk mengekalkan tekanan ke atas Taliban”, yang kini berkuasa di Afghanistan, tambah pemimpin Perancis itu.
Lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB- Perancis, Britain, AS, Rusia dan China- akan bertemu pada Isnin untuk membincangkan situasi di Afghanistan.
Paris dan London akan mengambil peluang itu untuk membentangkan draf resolusi yang “bertujuan untuk merangka, di bawah kawalan PBB, sebuah ‘zon selamat’ di Kabul, yang akan membolehkan operasi kemanusiaan diteruskan,” kata Macron.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika usaha masyarakat antarabangsa membawa keluar warga asing dan warga Afghanistan yang terancam dari negara itu semakin hampir ke penghujung.
Perancis menamatkan usaha menyelamat pada Jumaat dan United Kingdom pada Sabtu lepas.
Tentera AS pula sedang berdepan situasi bahaya dan kucar kacir untuk menyiapkan operasi menyelamat besar-besaran dari lapangan terbang Kabul menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini.
Macron pada Sabtu berkata perbincangan “sudah bermula dengan Taliban” untuk “melindungi dan menyelamat” warga Afghanistan yang diancam bahawa selepas 31 Ogos.
Bercakap kepada wartanan di Iraq, di mana beliau hadir mesyuarat dengan pemimpin utama rantau itu, Macron menambah dengan bantuan Qatar yang mempunyai hubungan baik dengan Taliban, wujud kemungkinan operasi menyelamat dilanjutkan.
Tambahnya, Perancis sudah membawa keluar 2,834 orang dari Afghanistan sejak 17 Ogos lalu.
Dalam rencana diterbitkan akhbar Perancis pada Ahad itu, Macron berkata beliau membayangkan operasi menyelamat bersasar pada masa hadapan “tidak dibuat melalui lapangan terbang tentera di Kabul” tetapi mungkin menerusi lapangan terbang awam di ibu kota itu atau negara jiran.
Macron juga mengecam usaha mencetuskan ketakutan di buat pihak tertentu di Perancis mengenai ketibaan pelarian Afghan di negara itu.
“Peranan saya bukan untuk mencetuskan ketakutan dalam rakan senegara, ia adalah untuk menyediakan penyelesaian untuknya,” tambahnya sambil memberi jaminan yang beliau akan berdepan tekanan isu itu dengan “kemanusiaan, ketegasan, dan keupayaan untuk melindungi sempadan kita sewajarnya”. – AFP,29 Ogos, 2021.
Komen