KIRA-KIRA 160,000 orang sertai tunjuk perasaan di seluruh Perancis semalam, kata kementerian dalam negeri, susulan kemarahan terhadap sistem pas kesihatan Covid-19 di negara itu yang mereka sifatkan sekatan tidak adil bagi yang tidak divaksinasi.
Menjelang petang, pihak berkuasa berdepan 222 tindakan tunjuk perasaan berasingan, termasuk 14,500 orang di Paris.
Seramai 16 orang ditangkap dan tiga pegawai polis cedera ringan dalam insiden protes Covid-19 pada hujung minggu berturut-turut.
“Vaksin bukanlah penyelesaiannya,” kata pesara Helene Vierondeels, yang menghadiri demonstrasi sayap kanan di Paris.
Di Bordeaux, beberapa penunjuk perasaan berkata enggan memberi vaksin kepada anak-anak mereka, hanya beberapa hari sebelum permulaan tahun persekolahan baru.
“Kami bukan tikus makmal,” kata seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang berarak dengan ayahnya.
“Kami tinggal di negara bebas, tiada angka yang menyokong vaksinasi besar-besaran,” kata ayahnya, menyamakan peningkatan tekanan untuk mendapatkan vaksinasi dengan pemerkosaan.
Di bawah sistem pas Covid, yang diperkenalkan secara progresif sejak pertengahan Julai, mewajibkan setiap individu yang ingin memasuki restoran, teater, pawagam, kereta api jarak jauh, atau pusat membeli-belah menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian negatif.
Kerajaan menegaskan pas itu diperlukan untuk mendorong pengambilan vaksin dan menghindari sekatan pergerakan penuh seluruh negara keempat, dengan kebanyakan pesakit Covid-19 tidak divaksin dimasukkan ke hospital.
Angka keseluruhan semalam sedikit menurun daripada 175,000 penunjuk perasaan yang keluar pada hujung minggu sebelumnya.
Kira-kira 200,000 orang berarak pada hujung minggu sebelumnya, menurut angka kementerian dalam negeri.
Penganjur mendakwa jumlah sebenar adalah dua kali ganda daripada anggaran yang diumumkan oleh polis.
Pergerakan tunjuk perasaan menghimpunkan bekas anggota gerakan antikerajaan “Yellow Vest” serta individu prihatin yang sistem semasa mewujudkan masyarakat dua peringkat secara tidak adil. – AFP, 29 Ogos, 2021
Komen