GANGGUAN bekalan air dua kali sehingga hampir dua minggu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini berpunca daripada projek korek pasir di Sungai Terengganu sejak lima tahun lepas, dakwa penduduk.
Penduduk Kampung Sekati di Kuala Terengganu memberitahu The Malaysian Insight mereka sudah lama menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu, yang bukan saja mengancam jajaran paip di dasar sungai tetapi menghakis tanah.
Walaupun sudah banyak kali diadu, mereka tidak nampak ada tindakan diambil – sehinggalah insiden paip pam pecah di dasar Sungai Terengganu pada 2 Ogos yang menyebabkan hampir 30,000 pengguna di dua daerah terganggu bekalan air.
Mahathir Salleh, 52, seorang penduduk Kampung Sekati, berkata kali terakhir beliau membuat aduan pada Oktober lepas kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“JPS sendiri mengesahkan memang syarikat terlibat melakukan aktiviti sedut pasir secara tidak terkawal, tetapi setakat itu saja.
“Kami penduduk tidak nampak ada tindakan yang diambil dan aktiviti terus berjalan sehingga kejadian paip pecah berlaku,” katanya.
JPS mengesahkan perkara itu, katanya, dalam sepucuk surat kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan pejabat pentadbir tanah pada 22 Oktober lepas.
“Surat itu maklum balas JPS kepada aduan saya,” katanya.
Dalam surat itu, yang turut dilihat oleh The Malaysian Insight, JPS mengakui kerja mengorek pasir di Sungai Terengganu tidak mengikut pelan yang ditetapkan kerajaan negeri dan menyarankan agar projek tersebut dihentikan sementara.
Surat JPS itu juga mengesahkan berlaku hakisan tanah sehingga tiga meter di tebing sungai akibat projek sama.
Mahathir juga berkata penduduk berhampiran sengsara sejak lima tahun kerana bunyi bising jentera pengorek pasir tetapi mereka juga lebih khuatir akan keselamatan rumah dan kawasan tanah yang dekat dengan sungai.
“Saya boleh kata tanah milik saya hilang dalam dua kaki akibat hakisan tanah. Saya risau kalau tiada tindakan lama-lama saya boleh hilang rumah,” tambahnya.
Selepas insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu pada 2 Ogos, penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mengalami gangguan bekalan air selama 12 hari. Paip itu saiznya 1.2 meter.
Bagaimanapun 10 hari selepas paip pecah itu dibaiki, ia pecah sekali lagi minggu lalu menyebabkan bekalan air kepada penduduk di dua daerah itu terjejas semula.
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas yang akan menyiasat kejadian tersebut termasuk dakwaan kejadian berpunca akibat aktiviti korek pasir.
Beliau juga mengarahkan syarikat korek pasir yang mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk menghentikan sementara aktiviti mereka.
Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak menyatakan tindakan yang akan kerajaan negeri ambil jika siasatan rasmi mengesahkan hubung kait antara kerja-kerja mengorek pasir dan paip pecah di dasar Sungai Terengganu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ramlee Man, 59, berkata penduduk menuntut kerajaan negeri menghentikan aktiviti pasir itu terus dan bukannya untuk sementara.
Beliau mendakwa memang terbukti kegiatan korek pasir punca paip pecah kerana ia dilakukan betul-betul di bawah paip tersebut, yang dipasang oleh kerajaan sejak 15 tahun lalu.
“Saya jadi ahli JKKK selama 30 tahun… memang masa kerajaan negeri pasang paip ini saya memang ada di sini.
“Saya juga ada bukti gambar yang syarikat itu korek pasir betul-betul kedudukan bawah paip air.
“Bagi saya kerajaan negeri tak perlu siasat sebab sudah terbukti,” katanya.
Ramlee mendesak kerajaan negeri bertindak lebih tegas dan mengawal aktiviti korek pasir di Terengganu.
Katanya, isu korek pasir tidak terkawal bukan perkara baru bahkan mendakwa syarikat yang terlibat sudah bertukar tiga kali untuk mengaut untung daripada kelulusan kerajaan negeri.
Beliau memberitahu aduan juga pernah dibuat kepada SuruhanJaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas kerja mengorek pasir menyebabkan hakisan tanah.
“Itu di kawasan Kampung Losong Feri, sebelah Kampung Sekati, tapi saya tak ingat tahun bila.
“Selepas kita adu SPRM syarikat itu lari, diganti dengan syarikat lain dan selepas itu bertukar syarikat sekarang sejak lima tahun lepas,” katanya. – 29 Ogos, 2021.
Komen