SERANGAN udara Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan selepas insiden pengeboman bunuh diri di lapangan terbang Kabul membunuh dua “perancang dan fasilitator” Islamic State (Isis) berprofil tinggi dan menyebabkan seorang lagi cedera, kata Pentagon pada Sabtu.
Tiada orang awam cedera dalam serangan dron pada pagi Sabtu, selepas pengeboman hari Khamis yang mengorbankan sejumlah orang termasuk 13 tentera AS, kata Mejar Jeneral Hank Taylor dalam satu sidang akhbar.
Pentagon enggan menyatakan sama ada individu yang menjadi sasaran dalam serangan AS terlibat secara langsung dalam pengeboman bunuh diri, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Isis-Khorasan, cabang wilayah daripada kumpulan utama.
“Mereka adalah perancang dan fasilitator Isis-K. Itu alasan yang mencukupi,” kata jurucakap John Kirby, merujuk kepada akronim yang digunakan oleh kerajaan AS bagi kumpulan itu.
“Fakta yang dua individu itu sudah tiada, itu adalah perkara yang baik,” tambahnya.
Serangan pengebom bunuh diri, mensasarkan sekumpulan warga Afghanistan yang berkumpul di luar lapangan terbang dengan harapan dapat melarikan diri dari Afghanistan yang diperintah oleh Taliban, ketika gerakan pemindahan AS menghampiri tarikh akhir pada Selasa.
Pegawai AS berkata kemungkinan lebih banyak serangan terhadap usaha pemindahan.
Pemindahan AS dari Kabul yang sedang berjalan - Taylor berkata terdapat sekitar 1,400 orang di lapangan terbang pada Sabtu yang disaring dan dijadualkan penerbangan hari ini.
Seorang pegawai Jabatan Negara berkata pada Sabtu masih ada 350 warga AS di Afghanistan yang memberitahu mereka ingin keluar.
Pegawai berkata sekurang-kurangnya 5,400 warga AS “dan kemungkinan lebih” sudah dipindahkan setakat ini.
Secara keseluruhannya, kira-kira 112,000 orang sudah dikeluarkan dari Afghanistan sejak 14 Ogos, sehari sebelum Taliban merampas kuasa, menurut data terbaru kerajaan AS.
Mayat 13 askar AS yang terbunuh dalam serangan di lapangan terbang itu diterbangkan pulang pada Sabtu, kata Kirby. Senarai nama mereka akan dikeluarkan tidak lama lagi, katanya.
Kirby berkata AS terus mengawal lapangan terbang Kabul dan keselamatan di sana, sehari selepas Taliban berkata sudah mengambil alih sebahagian kemudahan tersebut.
Pejuang Taliban yang bersenjata berat dilihat di pekarangan dan bangunan tambahan kompleks lapangan terbang oleh wartawan AFP pada Sabtu, sementara tentera laut AS mengawasi dari bumbung terminal penumpang.
Kirby berkata terdapat pasukan pemeriksaan Taliban di sekitar lapangan terbang tetapi tidak mengawal keselamatan.
“Kami tidak menghentikan operasi pemindahan. Kami akan melakukannya sehingga ke akhirnya,” kata Kirby.
“Kami masih mengawal lapangan terbang dan menjaga keselamatan di lapangan terbang dan apa yang berlaku beberapa hari lalu masih berlaku hari ini.” – AFP, 29 Ogos, 2021
Komen