AMERIKA Syarikat semalam menggesa warga Amerika Syarikat (AS) segera tinggalkan pintu masuk sekitar lapangan terbang Kabul, kawasan di mana berlaku kejadian serangan bom pada Khamis.
Pentagon sebelum itu memberi amaran operasi membawa keluar warga AS dan rakyat Afghanistan yang ingin keluar dari Kabul masih lagi berisiko tinggi.
“Warga AS yang berada di pintu Abbey, pintu Timur, pintu Utara atau pintu Kementerian Dalam Negeri, dikehendaki beredar dengan segera.
“Susulan ancaman keselamatan di Kabul, kami menasihatkan warga AS supaya mengelakkan perjalanan ke lapangan terbang atau berada di kawasan pintu masuknya,” menurut kenyataan Kedutaan AS di Kabul.
Amaran tersebut bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai ancaman keselamatan terbabit.
Ia dikeluarkan selepas serangan di luar lapangan terbang Kabul pada Khamis, yang mengorbankan 85 orang termasuk 13 anggota tentera AS dan ratusan lagi cedera. – AFP, 28 Ogos, 2021.
Komen