Atlet paralimpik Jepun dilanggar bas di perkampungan Tokyo 2020


Bas pandu sendiri automatik turut digunakan di perkampungan atlet sepanjang Olimpik 2020. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2021.

SEORANG lelaki cacat penglihatan dilanggar bas pandu sendiri di perkampungan Paralimpik di Tokyo, kata penganjur semalam, menambah tiada “kecederaan luaran” dikesan.

Kemalangan berlaku petang Khamis, menurut penganjur dan Toyota, yang membangunkan bas pengantara automatik itu untuk digunakan di kawasan berkenaan.

Katanya, ia menggantung operasi kenderaan itu selepas insiden berkenaan, di mana ia membabitkan satu daripada bas elektriknya yang melanggar seorang pejalan kaki buta di lintasan pejalan kaki.

“Kami mohon maaf kepada pihak yang mengalami kecederaan. Kami memberikan kerjasama penuh dengan polis berkenaan kes ini,” kata syarikat itu.

Tokyo 2020 berkata lelaki yang dilanggar bas itu sudah menjalani pemeriksaan penuh dan tiada kecederaan luaran dikenal pasti.

“Perkhidmatan bas pengantara di perkampungan itu kini digantung sementara dan operasi akan disambung semula sebaik saja didapati ia selamat untuk beroperasi,” kata penganjur.

Tokyo 2020 atau Toyota tidak mengesahkan identiti mangsa tetapi beberapa media menamakan lelaki terbabit ialah atlet judo Jepun Aramitsu Kitazono.

Media tempatan berkata Kitazono, 30, jatuh dalam kemalangan itu dan memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan. Stesen televisyen tempatan NHK melaporkan beliau akan terlepas acaranya hari ini kerana keadaan fizikalnya tidak mengizinkan.

Jurulatihnya berkata keputusan itu diambil selepas berbincang dengan Kitazono dan mendapatkan nasihat doktor yang merawatnya.

Akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun berkata dua operator bas – yang menyelia operasi automatik itu berkata mereka perasan atlet itu, tetapi berfikir beliau akan berhenti berjalan kerana bas sedang melalui jalan itu.

Akhbar Mainichi Shimbun berkata bas itu berhenti secara automatik tetapi operator menekan butang mula kerana mereka tidak fikir pejalan kaki akan berjalan di laluan itu.

Lima penumpang yang ada di dalam bas tidak cedera, kata Asahi, menambah pejalan kaki terbabit tidak memegang tongkat dan tiada pengawal lalu lintas bertugas di lintasan berkenan.

Ribuan atlet dan pegawai pasukan menetap di Perkampungan Paralimpik untuk kejohanan itu yang bermula Selasa lalu.

Bas pandu sendiri automatik turut digunakan di perkampungan atlet sepanjang Olimpik. – AFP, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen