Guru tidak vaksin sebar Covid-19 kepada 26 individu


Kajian terbaru mendapati satu kes penularan Covid-19 di San Francisco berlaku berpunca daripada seorang guru tidak divaksin tidak memakai pelitup muka di kelas di mana muridnya di bawah umur 12 tahun. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2021.

SEORANG guru yang tidak divaksin di sebuah sekolah rendah di California menyebarkan koronavirus kepada sekurang-kurangnya 26 individu lain, termasuk 12 murid di kelasnya, menurut kajian terbaru Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC).

Agensi kesihatan itu berkata kes itu menonjolkan kepentingan memvaksin staf sekolah bagi melindungi murid yang masih belum boleh menerima vaksin, ketika sekolah dibuka semula di tengah-tengah penularan varian Delta.

CDC berkata insiden itu berlaku di Marin County, kawasan pinggir San Francisco.

Guru berkenaan yang dilaporkan menghadiri satu majlis sosial dari 13 hingga 16 Mei, mula bergejala pada 19 Mei tetapi tidak mengambil ujian Covid-19 hinggalah 21 Mei, kerana pada awalnya menganggap symptom itu adalah kerana alegik.

“Pada masa ini, guru berkenaan membaca di kelas untuk muridnya tanpa memakai pelitup muka walaupun sekolah mewajibkan pelitup dipakai ketika di dalam kelas,” kata kajian itu.

Daripada 24 murid guru itu yang semua masih di bawah umur 12 tahun dan tidak layak untuk divaksin, 12 didapati positif.

Lapan daripada 10 murid di dua barisan depan didapati positif, dan kadar serangan 80%, begitu juga empat daripada 14 murid di tiga barisan belakang di dalam kelas.

Sekolah mewajibkan murid memakai topeng pelitup muka, setiap meja murid berjarak enam kaki, tingkap dibuka di kedua-dua belah kelas, dan penapis udara berkualiti tinggi dipasang di depan kelas.

Enam pelajar di kelas lain turut didapati positif.

Tidak jelas bagaimana virus itu menular antara dua kelas itu, dengan penyelidik mengandaikan ia berlaku menerusi interaksi di sekolah. – AFP, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen