Pembunuh Robert F Kennedy diberi parol


Sirhan Sirhan, pembunuh Robert F Kennedy pada 1968, yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup, diberikan parol. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2021.

LELAKI yang disabitkan bersalah menembak mati Robert F Kennedy dalam pembunuhan yang menggemparkan Amerika Syarikat (AS) pada 1968, diberikan parol, semalam.

Sirhan Sirhan, 77, pernah mencuba 15 kali sebelum ini untuk dibebaskan daripada hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan kira-kira lima dekad lalu.

Bagaimanapun, keputusan undi panel Lembaga Parol di California itu bukan bermakna Sirhan akan dibebaskan secara automatik.

Keputusan itu tertakluk kepada semakan tiga bulan sebelum diserahkan kepada Gabenor Gavin Newsom.

Kennedy yang juga adik kepada bekas presiden AS John F Kennedy ditembak mati di sebuah hotel di Los Angeles ketika berkempen untuk pencalonan presiden Demokrat.

Sirhan disabitkan bersalah dan dihukum mati pada 1969 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh.

Beberapa tahun kemudian, hukuman mati terhadapnya ditukar kepada penjara seumur hidup. – AFP, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen