SEKURANG-KURANGNYA 21 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi masih hilang apabila sebuah bot sarat penumpang dan sebuah kapal kargo bertembung di sebuah tasik di timur Bangladesh semalam, kata pihak berkuasa.
Bot itu dilaporkan membawa 60 penumpang ketika insiden yang berlaku di Bijoynagar, kata pentadbir kerajaan tempatan Hayat-ud-Doula Khan.
Kapal kargo itu terlanggar bot berkenaan menyebabkan ia terbalik, katanya.
“Kami menemui 21 mayat termasuk sembilan wanita dan enam kanak-kanak setakat ini,” katanya.
Jurucakap bomba Taufiqul Islam berkata pasukan penyelam mencari mangsa di lokasi kejadian. Penduduk tempatan turut menyertai usaha menyelamat itu.
Polis berkata tujuh mangsa dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.
Pada April dan Mei, 54 terbunuh dalam dua insiden bot karam.
Pakar berkata penyelenggaraan yang teruk dan standard keselamatan rendah di pelabuhan dan penumpang terlalu ramai sering menjadi penyumbang kepada kemalangan seperti ini.
Pada Jun tahun lalu, sebuah feri karam di Dhaka selepas ia dilanggar dari belakang oleh feri lain, menyebabkan 32 penumpang maut.
Pada Februari 2015, sekurang-kurangnya 78 maut selepas sebuah bot sarat dengan penumpang bertembung dengan bot kargo. – AFP, 28 Ogos, 2021.
Komen