SEMBILAN individu termasuk dua warga China terbunuh dan dua lagi cedera selepas sebuah kren runtuh di tapak pembinaan di Nairobi, Kenya, kata polis.
Kren itu terhempas ketika sepasukan pekerja sedang cuba menanggalkan kren berkenaan, kata ZJCC iaitu syarikat milik China yang menguruskan projek berkenaan.
Tujuh pekerja warganegara tempatan turut meninggal dunia dalam kemalangan itu, kata Ketua Polis Kilimani Andrew Mbogo.
Tapak pembinaan itu bagi projek membina bangunan asrama pelajar 14 tingkat.
Punca insiden itu masih tidak jelas.
Saksi berkata mereka mendengar suara jeritan ketika kren itu terhempas.
Josephine Matere, seorang penjual makanan di situ berkata beliau nampak kren berwarna hijau itu bergoyang kuat dengan mangsa dilihat bergayut di situ.
“Mereka menjerit dan nampak kawan mereka jatuh,” katanya.
Mangsa yang cedera dirawat di hospital berhampiran, kata polis. – AFP, 28 Ogos, 2021.
Komen