Bersatu tidak dapat apa-apa daripada Kabinet baharu, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Bersatu hilang kawalan kuasa dalam kerajaan apabila presidennya Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2021.

BERSATU tidak memperoleh kelebihan – sama ada secara politik atau sebaliknya – dalam senarai Kabinet baharu Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan semalam, kata penganalisis poliktik.

Mereka berkata dengan perdana menteri Umno, parti itu kini mengambil alih Bersatu sebagai tulang belakang pakatan pemerintah, dengan jumlah menteri lebih ramai berbanding di bawah pentabiran sebelum ini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu – parti yang mengetuai gabungan Perikatan Nasional (PN) – sepatutnya diberikan jawatan timbalan perdana menteri.

Dalam Kabinet Ismail Sabri, Umno mempunyai 11 menteri dan 10 timbalan, berbanding Bersatu iaitu 10 menteri dan 13 timbalan.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini, Bersatu mempunyai 11 menteri dan 15 timbalan sementara Umno ada sembilan menteri dan lapan timbalan.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Bersatu tidak lagi ada kelebihan dan kuasa dalam mengawal kerajaan apabila Muhyiddin meletak jawatan.

Oleh itu katanya ia hilang kuasa yang dipegangnya sebelum ini.

“Kedudukan Bersatu terjejas kerana mereka tidak lagi mengawal keraajaa. Mereka tidak boleh memegang kuasa seperti ketika Muhyiddin jadi PM dulu,” katnya.

Beliau berkata Umno juga dengan bijak meletakkan menterinya memegang portfolio penting.

Katanya, ini jelas dilihat menerusi pelantikan Annuar Musa ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Umno cuba mengawal naratifnya sekali lagi dengan memberi jawatan komunikasi kepada Annuar. Ia juga mengambil Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dua kementerian ini penting untuk parti seperti Umno.

“Mereka mahu akar umbi mendapat manfaat daripanya supaya lebih mudah untuk mereka menang undi luar bandar pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Beliau berkata Bersatu juga perlu menerima hakikat mereka tidak lagi berkuasa.

“Ini adalah asam garam politik. Mereka tidak boleh berharap Umno akan memberi ruang untuk mereka berjaya,” katanya. – 28 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen