Mahdzir nafi ancam guru undi pembangkang


Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid menyangkal laporan yang beliau memberitahu guru dan pegawai bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka jika menyokong pembangkang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Januari, 2018.

MENTERI Pendidikan Mahdzir Khalid menyangkal laporan yang beliau memberitahu guru dan pegawai bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka jika menyokong pembangkang.

Mahdzir yang diserang pelbagai pihak berhubung laporan itu mengatakan, laporan berita itu tidak logik dan mungkin salah tafsir ucapannya oleh wartawan.

“Undi adalah rahsia, bagaimana boleh saya memberi amaran kepada mereka yang mengundi pembangkang?” katanya, seperti dipetik portal berita mStar.

Katanya, beliau hanya mengingatkan guru dan warga pendidikan tentang kedudukan mereka serta tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul.

“Mereka tidak boleh berada di pentas sama dengan pemimpin pembangkang kerana tugas sebagai penjawat awam yang melaksanakan dasar kerajaan.

“Saya tidak pernah mengugut atau meminta mereka meninggalkan kerjaya perguruan jika menyokong pembangkang,” katanya lagi.

Sebuah akhbar berbahasa Cina pada Jumaat lepas melaporkan bahawa guru yang memegang jawatan dalam parti pembangkang perlu letak jawatan, laporan yang kemudian dipetik oleh beberapa portal berita termasuk The Malaysian Insight.

Bernama dalam satu laporan lain menyebut Mahdzir memberi ingatan kepada warga pendidik supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Katanya, sebagai warga kerja kerajaan, mereka terikat dengan peraturan tertentu dalam perkhidmatan awam terutamanya berhubung hal yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Mahdzir juga berkata beliau sedia maklum ada guru termasuk guru besar dan pengetua yang memegang jawatan dalam parti pembangkang termasuk PKR dan PAS.

“Saya percaya ibu bapa mahu golongan guru ini memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak mereka.

“Mereka tidak seharusnya menukar kelas, perhimpuann sekolah atau bilik guru kepada sesi ceramah,” katanya.
Tambah Mahdzir, ingatan yang sama bukan hanya beliau tujukan kepada guru yang menyokong pembangkang tetapi juga guru yang menyokong Barisan Nasional, agar berpada-pada berpolitik.

“Saya konsisten dalam mesej saya - ingat peranan anda sebagai guru,” katanya, seperti dipetik oleh The Star Online.

Susulan bantahan terhadap kenyataannya, pejabat media dan komunikasi Kementerian Pendidikan dalam satu siri “tweet” berkata menteri memberi “nasihat sebagai seorang ayah kepada anak” apabila mengingatkan guru dan pegawai pendidikan agar berpada-pada menyokong pembangkang.

“Beliau hanya menasihati agar semua orang khususnya penjawat awam menggunakan “wisdom” dalam membuat keputusan sewaktu mengeluarkan kenyataan terhadap kerajaan dek kerana anda berkhidmat untuk kerajaan demi rakyat,” kata Pejabat Media dan Komunikasi Kementerian Pendidikan, kelmarin. 

Mahdzir pada Oktober lepas dilaporkan berkata semua guru yang mahu menyertai parti politik mesti mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan termasuk mendapatkan kebenaran bertulis.

Katanya, tiada halangan untuk guru menyertai politik tetapi harus ikut saluran yang betul.

“Mereka nak aktif dalam politik itu boleh. Dalam peraturan guru boleh pegang jawatan (dalam politik) sehingga DG48. Pegang jawatan (dalam politik) tak salah.

“Namun, untuk yang berjawatan tinggi daripada DG48, iaitu DG52 atau DG54 kena minta kebenaran daripada ketua jabatan masing,” katanya, seperti dipetik BH Online, Oktober lepas. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen