PBB jangka 500,000 pelarian Afghan hujung tahun ini


PBB berharap menyalurkan bantuan kepada negara jiran yang menerima pelarian Afghanistan. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2021.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menyatakan mereka menjangkakan hampir 500,000 pelarian akan meninggalkan Afghanistan yang dilanda keganasan menjelang hujung tahun ini.

Organisasi itu berkata, pada masa ini tiada sebarang kebanjiran pelarian merentasi sempadan negara itu, namun menyatakan mereka membuat pelan darurat ketika krisis di negara itu semakin memuncak.

“Masalah kemanusiaan kini menghantui Afghanistan,” kata Kelly Clements, timbalan pesuruhjaya tinggi UNHCR, kepada wartawan.

Namun “ini jelas satu situasi yang amat dinamik,” katanya, menjelaskan UNHCR merancang bagi menangani pelbagai senario, termasuk pelarian secara besar-besaran.

“Kami mempersiapkan kira-kira 500,000 pelarian baharu di rantau ini. Ini adalah senario terburuk,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan untuk meningkatkan bantuan kepada negara jiran yang sudah menempatkan lebih daripada 2.2 juta pelarian Afghan dan mungkin akan menyaksikan penambahan lagi.

Malah sebelum Taliban kembali berkuasa di Afghanistan hampir dua minggu lalu, situasi kemanusiaan di negara itu memang sudah teruk secara mendadak.

Sebahagian besar daripada penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan dan separuh daripada semua kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah mengalami kekurangan makanan.

PBB pada Jumaat membentangkan perancangan buat agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersedia menangani krisis di Afghanistan dan negara jiran.

Mereka segera merayu untuk mendapatkan dana hampir AS$300 juta (RM1.25 bilion) untuk membiayai rancangan itu. – AFP, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen