Kabinet baharu mengecewakan, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar tidak puas hati dengan barisan kabinet Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

PAKATAN Harapan akan terus mengkritik kerajaan baharu jika tidak ada usaha ketara untuk mengekang Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Dalam siaran secara langsung menerusi Facebook, ahli parlimen Port Dickson itu menyelar barisan kabinet baharu dan menyatakan ia kabinet kitar semula daripada kerajaan sebelumnya.

“Kita lihat di media sosial ramai yang menyuarakan kekecewaan mereka. Mereka mengatakan kabinet ini adalah kabinet lama. Sesungguhnya barisan baharu ini amat mengecewakan.”

“Selama satu setengah tahun, pentadbir sebelumnya diberi kesempatan untuk memerangi Covid-19 namun menteri ketika itu tidak dapat mengekang penularan virus.”

“Kami di blok pembangkang akan terus mengecam pemerintah jika tidak ada usaha untuk memperbaiki keadaan,” kata Anwar ketika sesi siaran langsung hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kabinetnya yang terdiri daripada 30 menteri untuk membantu pentadbirannya, memilih untuk meneruskan percubaan empat menteri kanan dan tanpa timbalan perdana menteri.

Beliau juga mengekalkan hampir semua muka lama daripada kabinet Muhyiddin Yassin, membawa masuk sebilangan kecil muka baharu dan menukar portfolio beberapa menteri.

Empat menteri kanan itu hampir sama seperti pentadbiran sebelumnya - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin manakala Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bertukar dari Kementerian Luar Negeri.

Anwar berkata, barisan kabinet baharu itu tidak memberi keyakinan kepada pelabur asing dan tempatan.

“Tentunya, kabinet baharu tidak akan dapat memberikan keyakinan kepada pelabur dalam mahupun luar negara.”

Selain Anwar, pengulas politik juga menyuarakan kekecewaan mereka dan mengatakan Ismail Sabri tidak mempunyai pengaruh sebenar untuk membawa perubahan.

Mereka berkata, mereka tidak terkejut dengan senarai kabinet Ahli Parlimen Bera itu dan menganggap ia sebagai kabinet Perikatan Nasional 2.0. – 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen