EMPAT lelaki bersenjata menyerang Intercontinental Hotel di Kabul pada Sabtu dan melepaskan tembakan kepada tetamu, kata pegawai.
“Empat penyerang berada di dalam bangunan,” kata pegawai agensi perisikan Direktorat Keselamatan Negara (NDS) kepada AFP.
Mereka “menembak tetamu”, katanya.
Seorang lagi pegawai berkata, penyerang bersenjata kecil dan bom tangan roket ketika memasuki hotel, yang sering menganjurkan perkahwinan, persidangan dan perhimpunan politik.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi memberitahu AFP, mereka masih tidak mengetahui butiran mangsa.
Tingkat empat hotel itu juga terbakar, kata pegawai NDS.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Najib Denmark turut mengesahkan kejadian itu.
“Kami tidak tahu butiran tetapi pasukan kami berada di kawasan itu untuk menumpaskan mereka,” kata Denmark.
Tiada maklumat mengenai mangsa dalam serangan terbaru ini, yang bukan sebahagian daripada rantaian InterContinental global.
Beberapa penghuni di dalam hotel bersembunyi di tingkat dua, kata sumber keselamatan.
Seorang tetamu bersembunyi di biliknya memberitahu AFP dapat mendengar bunyi tembakan.
“Saya tidak tahu jika penyerang berada di dalam hotel tetapi saya dapat mendengar tembakan dari suatu tempat berhampiran tingkat pertama,” katanya tanpa memberikan nama.
“Kami bersembunyi di bilik. Saya merayu pasukan keselamatan menyelamatkan kami secepat mungkin sebelum mereka sampai dan membunuh kami.”
Bekalan elektrik terputus selepas letupan awal di hotel puncak bukit itu, kata sumber anti pengganas.
Kali terakhir hotel itu menjadi sasaran pada Jun 2011 apabila seorang pembunuh nekad yang didakwa oleh Taliban membunuh 21 orang, termasuk 10 orang awam.
Keselamatan di Kabul diperketatkan sejak 31 Mei tahun lepas apabila sebuah trak diisi dengan bom meletup di kawasan diplomatik, membunuh kira-kira 150 orang dan mencederakan sekitar 400 orang yang lain – sebahagian besarnya penduduk awam. Tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Kumpulan militan Islamic State (IS) mendakwa bertanggungjawab kebanyakan serangandi ibu kota Afghanistan baru-baru ini, tetapi pihak berwajib mengesyaki rangkaian Haqqani yang bergabung dengan Taliban terlibat dalam beberapa serangan.
Serangan paling teruk baru-baru ini berlaku di pusat kebudayaan Syiah pada 29 Disember apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri, membunuh lebih 40 orang. – AFP, 21 Januari, 2018.
Komen