SERANGAN Turki di wilayah Afrin, utara Syria pada Sabtu mengakibatkan 10 orang terbunuh yang kebanyakannya adalah orang awam, kata jurucakap militia Kurdis yang mengawal kawasan itu.
“Tujuh orang awam terbunuh, termasuk kanak-kanak lelaki, serta dua pejuang wanita dan seorang pejuang lelaki,” kata jurucakap Unit Perlindungan Rakyat Kurdis (YPG) Birusk Hasakeh, sambil menambah mangsa kanak-kanak itu berusia lapan tahun.
Cawangan politik YPG, Parti Kesatuan Demokratik (PYD), berkata pada awal Sabtu 25 orang awam cedera dalam pengeboman pihak Turki itu.
Ankara juga berkata terdapat mangsa terkorban tetapi semuanya adalah militan Kurdis.
Afrin, kawasan berbukit yang terletak di wilayah utara Syria di Aleppo, adalah kediaman kepada lebih sejuta orang termasuk keluarga yang melarikan diri daripada perang.
Turki dan sekutu pemberontak Syria pada Sabtu memulakan operasi udara dan darat, yang digelar operasi “Olive Branch”, bertujuan mengusir YPG daripada kawasan yang didukit majoriti oleh penduduk Kurdis.
Rusia pada Sabtu mengatakan tenteranya menarik diri dari rantau Afrin, tempat mereka menguruskan zon penampan antara Kurdis dan pemberontak yang disokong Turki serta melatih pejuang Kurdis.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Sabtu, YPG berkata ia akan “meletakkan Rusia sebagai pihak bertanggungjawab bagi serangan ini sama seperti Turki.”
“Rusia akan bertanggungjawab terhadap semua pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di daerah Afrin,” kata YPG.
Turki dengan tegas menentang YPG kerana hubungannya dengan Parti Pekerja Kurdistan, yang melancarkan pemberontakan di negara itu selama tiga dekad. – AFP, 21 Januari, 2018.
Komen