RAMAI individu dikesan masih mengalami gejala, termasuk lesu dan sesak nafas, dalam tempoh setahun selepas menerima rawatan hospital kerana jangkitan Covid-19.
Perkara itu didedahkan dalam satu kajian terbaru di China yang mengkaji kesan jangka panjang virus berkenaan terhadap kesihatan mangsa.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan British, The Lancet, hari ini kira-kira separuh daripada pesakit Covid-19 yang sudah 12 bulan keluar hospital, masih menderitai sekurang-kurang satu gejala berterusan – kebanyakannya lesu atau otot lemah.
Berdasarkan kajian terhadap keadaan dikenali sebagai “Covid-19 panjang” itu, setiap satu daripada tiga pesakit didapati masih mengalami sesak nafas, selepas diagnosis setahun lalu.
Malah, angka lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang mengalami jangkitan teruk.
“Tanpa rawatan yang terbukti ataupun panduan pemulihan, ‘Covid-19 panjang’ memberi kesan terhadap keupayaan menjalani semula kehidupan normal serta daya bekerja.
“Kajian itu menunjukkan ramai pesakit akan mengambil masa lebih setahun untuk pulih sepenuhnya daripada Covid-19,” menurut The Lancet dalam penulisan diterbitkan bersama kajian berkenaan.
Sambil menyifatkan Covid-19 panjang sebagai cabaran perubatan moden, penulisan itu turut menggesa supaya lebih banyak kajian dilakukan bagi mempertingkat kefahaman berkaitan dan penjagaan terhadap pesakit.
Kajian berkenaan membabitkan hampir 1,300 orang dirawat di hospital akibat jangkitan Covid-19 antara Januari hingga Mei 2020 di Wuhan.
Pemerhatian mendapati bilangan pesakit terbabit yang masih mengalami sekurang-kurang satu gejala, menurun daripada 68% selepas tempoh enam bulan, kepada 49% selepas tempoh 12 bulan.
Namun, bilangan pesakit berdepan masalah pernafasan meningkat daripada 26% selepas tempoh enam bulan, kepada 30% selepas tempoh 12 bulan.
Selain itu, golongan wanita didapati lebih terkesan dengan gejala lesu atau otot lemah yang berterusan serta gelisah atau murung, berbanding lelaki.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati 88% daripada pesakit yang bekerja sebelum diagnosis, sudah kembali bertugas selepas tempoh setahun.
Sebelum ini, terdapat hasil kajian yang memberi amaran kepada pihak berkuasa di serata dunia supaya bersiap siaga untuk menyediakan sokongan jangka panjang kepada petugas kesihatan dan pesakit yang terkesan dengan Covid-19. – AFP, 27 Ogos, 2021.
Komen