12 tentera AS terbunuh, 15 cedera dalam serangan di Kabul 


Kepulan asap kelihatan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kamid Karzai di Kabul.– Gambar EPA, 27 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) mengesahkan 12 anggotanya terbunuh dalam serangan di lapangan terbang Kabul, Afghanistan, sementara 15 lagi cedera, lapor Xinhua. 

Komander markas tentera AS, Kenneth McKenzie memberitahu wartawan pada sidang media di Jabatan Pertahanan, dua serangan bom berlaku di Abbey Gate berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, diikuti satu lagi letupan di Hotel Baron. 

“Sehingga kini, kami dimaklumkan bahawa 12 anggota tentera AS telah terbunuh dalam serangan itu, dan 15 lagi cedera,” kata McKenzie.

Serangan kali ini merupakan satu lagi peristiwa berdarah membabitkan tentera AS di Afghanistan.

McKenzie berkata serangan di Abbey Gate melibatkan seorang pengebom bunuh diri disusuli “sejumlah lelaki bersenjata yang bertindak melepaskan tembakan terhadap orang awam dan tentera” turut mengakibatkan rakyat Afghanistan terkorban.

Bagaimanapun, perincian mengenai serangan di Hotel Baron masih belum diperoleh, katanya.

Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, menerusi satu kenyataan dikeluarkan kumpulan itu, lapor Agensi Berita Amaq memetik beberapa laporan.

Presiden Joe Biden bersama anggota Kabinet, setiausaha negara dan pertahanan berada di Rumah Putih sejak pagi memantau perkembangan di Afghanistan. Biden turut dijadualkan menyampaikan ucapan mengenai serangan tersebut. 

Sementara itu, pertemuan Biden dengan perdana menteri Israel dijadualkan semula pada Jumaat, menurut kenyataan Rumah Putih.

Serangan berlaku ketika AS bertungkus lumus membawa keluar rakyat Amerika dan Afghanistan dari negara itu sejak Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos. – Bernama, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen