13 tentera AS maut serangan di lapangan terbang Kabul


Presiden Joe Biden sugul ketika menjawab soalan media di White House berhubung insiden serangan di lapangan terbang Kabul. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2021.

BERPULUH-PULUH maut, termasuk 13 anggota tentera Amerika Syarikat (AS), dalam serangan bom nekad ke atas orang ramai yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul untuk meninggalkan Afghanistan, semalam.

Menurut Taliban, dua letupan dalam insiden itu mengorbankan antara 13 hingga 20 orang, namun seorang pegawai kesihatan daripada kerajaan terdahulu yang enggan dikenali pula memaklumkan angka terbabit mungkin mencecah hingga 60 mangsa.

Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.

Kejadian gempar itu berlaku menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan yang menyaksikan kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar, setakat ini.

Malah, serangan itu dilapor mengakibatkan bilangan kematian tertinggi dalam tempoh sehari membabitkan tentera AS di Afghanistan sejak 2011.

Susulan itu, Presiden Joe Biden menyifatkan tentera AS terkorban dalam letupan berkenaan sebagai perwira dan berikrar untuk memburu pihak bertanggungjawab atas serangan terbabit.

“Kita tidak akan memaafkan. Kita tidak akan melupakan. Kita akan memburu anda sehingga dapat dan membuat anda menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Taliban bersekongkol dengan IS dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, proses pemindahan keluar dari Afghanistan akan diteruskan dan tamat mengikut jadual pada akhir bulan ini.

Ketika ditanya pemberita sama ada beliau memikul sebarang tanggungjawab atas kematian tentera AS itu, Biden berkata: “Saya memikul tanggungjawab secara asasnya atas segala yang berlaku kebelakangan ini.”

Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata antara 13 hingga 20 orang maut dan 52 lagi cedera dalam dua letupan berkenaan, manakala hospital di Kabul pula melaporkan enam mati serta 90 mangsa mengalami kecederaan.

Ketua Komando Pusat AS Jeneral Kenneth McKenzie, pada peringkat awal berkata 12 tentera negara itu terkorban dalam serangan berkenaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tentera AS dilaporkan turut meninggal dunia kemudian, manakala bilangan terkini anggota pasukan itu yang mengalami kecederaan mencecah 18 orang. – AFP, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen