60 cedera depoh senjata meletup di Kazakhstan


Berpuluh-puluh cedera dalam satu insiden letupan di depoh senjata di Kazakhstan, semalam dan pihak berkuasa memindahkan penduduk di kawasan perkampungan berhampiran. – Gambar Twitter, 27 Ogos, 2021.

BERPULUH-PULUH cedera dalam satu insiden letupan di depoh senjata di Kazakhstan, semalam dan pihak berkuasa memindahkan penduduk di kawasan perkampungan berhampiran.

Letupan berlaku di depoh senjata kementerian pertahanan di wilayah Jambyl, menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan tempatan.

Kerajaan Jambyl berkata 60 mangsa termasuk 11 anggota tentera dimasukkan ke hospital di Taraz.

Penduduk empat perkampungan yang terletak kurang 1km dari lokasi kejadian, dipindahkan, menurut kenyataan itu.

Jurucakap kerajaan Jambyl berkata tiada kematian dilaporkan dalam insiden itu.

Kementerian pertahanan dalam satu kenyataan berkata kebakaran di salah satu depoh itu menyebabkan letupan objek yang tidak dikenal pasti.

Katanya, bomba dikejarkan dan memadamkan kebakaran dan suruhanjaya ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Presiden Kassym-Jomart Tokayev di Twitter berkata antara yang cedera ialah anggota tentera dan pekerja perkhidmatan kecemasan.

Pada 2019, letupan berlaku di tapak pembuangan peluru di bandar Arys berhampiran wilayah Turkestan menyebabkan dua terbunuh dan puluhan ribu penduduk dipindahkan. – AFP, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen