BELIA di Malaysia marah dan kecewa dengan politik berlebihan dan terus menerus merosakkan proses demokrasi yang menjadi penghalang utama agenda reformasi untuk memacu negara ke hadapan.
Ini juga sebab mengapa golongan belia sering mengambil tindakan sendiri dengan mengadakan protes jalanan, kata mereka.
Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar dari Sekretariat Solidariti Rakyat berkata apabila mereka tidak boleh hentikan ahli politik daripada berpolitik, mereka boleh memberi tekanan kepada mereka untuk menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.
“Kita tidak boleh ubah ahli politik untuk tidak bermain politik. Tetapi kita sentiasa boleh menggesa mereka untuk fikir dan mnjalankan tugas sebagai wakil yang dipilih,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tambahan pula, kita perlu pembaharuan segera dalam sistem politik kita, seperti memperkenalkan pilihan raya semula, mengembalikan fungsi Parlimen dengan cara yang lebih bermakna, dan lain-lain.
“Peranan rakyat sangat penting untuk terus mendesak pmbaharuan ini dibuat,” katanya dan menambah pembaharuan di bawah Pakatan Harapan (PH) juga perlahan.
PH yang mendapat kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang selepas 22 bulan susulan Langkah Sheraton.
Selepas seminggu berada dalam ketidaktentuan pada Februari 2020, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad yang menerajui PH.
Muhyiddin sendiri dijatuhkan selepas 17 bulan memegang jawatan selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.
Susulan itu, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos.
Pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sekaligus mengembalikan semula kuasa Umno, parti yang pernah ditolak pengundi pada 2018.
Pengasas bersama pergerakan Undi 18 Qyira Yusri berkata perubahan kerajaan yang kerap membawa kepada defisit kepercayaan yang serius, terutamanya apabila kerajaan yang dipilih menerusi pilihan raya digantikan dengan kerajaan yang ditubuhkan hasil rundingan pintu belakang.
“Kepercayaan awam terhadap institusi ini terhakis apabila kurang ketelusan dan rundingan pintu belakang.
“Kita perlu didik diri kita dan desak untuk pembaharuan yang menghalang orang ramai dari hilang kepercayaan untuk mengundi,” katanya.
Qyira bagaimanapun optimis keadaan akan lebih baik di bawah pentadbiran Ismail Sabri.
“Saya sendiri seorang yang optimistik, jadi saya merasakan PM secara tidak sengaja hanya menyebut sedikit mengenai belia dalam ucapan pertamanya.
“Saya berpandangan jika kerajaan ini ingin memperkukuhkan kedudukannya dan menunjukkan niat baik, ia perlu membuka semula Parlimen dan mendorong pembaharuan, sehingga rakyat tahu bahawa mereka ikhlas.”
Beliau merujuk kepada ucapan Ismail Sabri yang menjemput golongan belia untuk bekerja dengannya dalam memulihkan negara dari Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.
Undi 18 mendesak kerajaan melaksanakan had umur mengundi 18 tahun.
Walaupun usul itu diluluskan di Parlimen pada 16 Julai dengan sokongan tidak berbelah bahagi, ianya tidak pernah dilaksanakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya memberi alasan Covid-19 dan sekatan pergerakan.
Menurut Undi 18, kira-kira 1.2 juta belia berusia antara 18 dan 20 tahun menjelang Julai tahun ini akan terjejas jika pilihan raya diadakan pada bila-bila masa sebelum September 2022. – 28 Ogos, 2021.
Komen