PRU14 pada Mac atau Mei, bergantung persempadanan semula, kata penganalisis


Sheridan Mahavera Ooi Choong Han

Penganalisis politik berpendapatan, sekiranya perdana menteri membubarkan Parlimen selepas Tahun Baru Cina, ia boleh merendahkan jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi, yang kebanyakannya menyokong Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

PENENTUAN tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan bergantung kepada sejauh mana Barisan Nasional (BN) percaya proses persempadanan semula yang sedang berjalan sekarang akan membantunya mendapatkan semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pemilihan sebelum ini, kata penganalisis politik.

Sebanyak 128 daripada 222 kawasan pilihan raya Parlimen akan dirombak dalam cadangan persempadanan semula yang akan terpakai selepas diluluskan oleh Parlimen.

Pengkritik mendakwa persempadanan semula itu akan memberi kelebihan pada BN, terutamanya di Selangor, negeri terkaya di Malaysia yang diperintah oleh pembangkang persekutuan sejak 2008.

Kajian menunjukkan persempadanan semula itu, ditambah dengan keadaan pembangkang yang tidak bersatu, akan membantu Perdana Menteri Najib Razak menang sekurang-kurangnya 148 kerusi di Parlimen dan dapat semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pilihan raya lalu.

Namun, penganalisis seperti Dr Wong Chin Huat berpendapat persempadanan semula, yang akan mewujudkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu dan Cina, tidak secara automatik menguntungkan BN.

Pemerhati politik berkata ada dua pilihan untuk BN mendapatkan kelulusan persempadanan semula daripada Parlimen dan kemudian membubarkan Parlimen, seterusnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRU14.

Pilihan pertama

Pertama, Najib bubar Parlimen tidak lama selepas sambutan Tahun Baru Cina yang bermula pada 16 Februari. Ini akan membolehkan pilihan raya diadakan pada Mac.

PRU14 itu akan menggunakan sempadan kawasan pilihan raya sedia ada melainkan Najib menganjurkan sidang khas Parlimen untuk meluluskan cadangan sempadan baru.

Kajian menunjukkan persempadanan semula itu, ditambah dengan keadaan pembangkang yang tidak bersatu, akan membantu Perdana Menteri Najib Razak menang sekurang-kurangnya 148 kerusi di Parlimen dan dapat semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pilihan raya lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

Najib tidak tertakluk kepada notis oleh Parlimen baru-baru yang mengumumkan persidangan pertama sesi keenam penggal ke-13 ini bermula pada 5 Mac, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Hatta Ramli.

“Beliau masih boleh memanggil sidang khas sebelum 5 Mac. Beliau juga boleh membubarkan Parlimen sebelum atau semasa persidangan itu berjalan,” kata Dr Hatta kepada The Malaysian Insight.

Pilihan kedua

Najib juga ada pilihan kedua iaitu meneruskan sidang dewan pada tarikh yang sudah ditetapkan dan mendapatkan kelulusan sempadan baru. Parlimen kemudian boleh dibubarkan pada pertengahan April dan PRU14 diadakan pada awal Mei.

Parlimen akan terbubar serta merta pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari iaitu sebelum akhir Ogos.

Menurut Wong, untungnya pilihan pertama ialah ia boleh merendahkan jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi, yang kebanyakannya menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Najib betul-betul yakin akan peluangnya dan kalau beliau rasa Selangor melengah-lengahkan proses persempadanan semula ini, beliau boleh bubarkan Parlimen selepas Tahun Baru Cina,” kata felo Institut Pulau Pinang itu.

“Sesetengah pengundi Cina yang ke luar negara tidak akan sempat balik untuk mengundi, jadi jumlah mereka yang keluar mengundi akan rendah. Dari segi sejarah, bilangan pengundi yang rendah selalu menguntungkan BN.”

Ooi Heng daripada badan penyelidik Kajian Pilihan Raya Umum (KPRU) berkata kalau Najib pilih pilihan pertama, ia akan menunjukkan beliau percaya persempadanan semula tidak akan membantu BN.

Ini boleh berlaku sekiranya PH, yang menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, berjaya menarik sokongan 5% pengundi Melayu untuk beralih menyokong PH, kata Ooi Heng.

Wong berkata peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PH di kawasan pilihan raya baru itu akan membahayakan BN.

“Kalau Dr Mahathir berjaya mempengaruhi undi Melayu, Najib terpaksa lupakan persempadanan semula,” kata Ooi Heng.

Mana satu pilihan Najib?

Kalau melihat pada cara bagaimana kesungguhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan proses persempadanan, pilihan kedua dilihat kebarangkalian yang paling mungkin bagi Najib.

SPR ada masa sehingga September 2018 untuk menyiapkan proses itu tetapi badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata usaha agensi itu menyelesaikan persempadanan semula di Selangor membayangkan ia mahu proses itu siap sebelum sidang Parlimen pada Mac.

Kajian menunjukkan persempadanan semula dan ditambah dengan keadaan pembangkang yang tidak bersatu, akan membantu Perdana Menteri Najib Razak menang sekurang-kurangnya 148 kerusi di Parlimen dan dapat semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pilihan raya lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

Proses itu tertangguh kerana beberapa kes yang dibawa ke mahkamah oleh kerajaan negeri Selangor. SPR perlu menyiapkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor sebelum ia menyerahkan cadangan itu kepada kerajaan.

Pusingan kedua pameran cadangan sempadan baru bagi Selangor dijadual bermula pada 14 Februari. SPR juga perlu mengadakan pendengaran bantahan di seluruh Selangor sekiranya ia menerima bantahan terhadap cadangan baru itu.

Difahamkan seluruh proses itu akan mengambil masa selama dua minggu. Ini bermakna SPR akan menyerahkan cadangan persempadanan semula yang baru itu kepada perdana menteri pada Mac, ketika Parlimen sedang bersidang.

“Najib perlukan persempadanan baru itu kerana ia memberikan BN banyak kelebihan,” kata Dr Hatta, yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.

PH menyusun strategi pilihan rayanya berdasarkan pada sempadan lama, kata Dr Hatta.

“Sukar bagi sesetengah daripada kami untuk menyesuaikan diri dengan sempadan baru terutamanya sekiranya kerusi (yang sudah diagih-agihkan) disusun semula.

“Oleh sebab persempadanan semula ini melibatkan gerrymander, ia akan memberi kelebihan kepada BN. Jadi, Najib perlukan sempadan baru ini.”

Satu lagi alasan untuk Najib menunggu sehingga Mac ialah supaya Parlimen dapat meluluskan cadangan 13 kawasan pilihan raya negeri yang baru bagi Sabah, kata seorang lagi pemimpin PH, Ong Kian Ming daripada DAP.

“Kalau cadangan Sabah itu tidak diluluskan, 13 kerusi baru itu tidak ada,” katanya yang juga ahli Parlimen Serdang.

Namun risiko meneruskan sidang dewan pada Mac, kata Dr Hatta, ialah ada kemungkinan sidang selama sebulan itu akan membangkitkan isu-isu baru yang akan menyusahkan BN.

“Tetapi Najib masih boleh bubarkan Parlimen ketika sidang masih berjalan, selepas persempadanan baru diluluskan,” kata Dr Hatta.

BN hanya perlu majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk meluluskan cadangan itu. Ia mempunyai 132 wakil di Dewan Rakyat.

Selepas diluluskan di Parlimen, Seri Paduka mempunyai masa sebulan untuk memberi perkenan dan cadangan sempadan baru kawasan pilihan raya itu akan sah terpakai. – 21 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen