AMERIKA Syarikat (AS) menghantar lebih dua juta dos vaksin Covid-19 ke Algeria, Ghana dan Yaman, kata White House, bagi merangsang usaha melawan gelombang ketiga pandemik itu di Afrika.
Penghantaran itu akan sampai sebelum hujung minggu ini, dan ia sumbangan pertama AS ke tiga negara berkenaan. Beberapa sumbangan ke benua lain turut dilakukan termasuk Nigeria dan Afrika Selatan yang teruk terjejas, bulan lalu.
Sumbangan itu diambil daripada lebihan stok AS iaitu termasuk 604,800 dos vaksin Johnson & Johnson dihantar ke Algeria, lebih 1.2 juta dos Moderna ke Ghana sementara 151,200 dos vaksin Johnson & Johnson ke Yaman.
Semua penghantaran dibuat menerusi Covax, pengedar yang disokong Pertubuhan Kesihatan Dunia dan sekutu vaksin Gavi.
Presiden Joe Biden berjanji untuk fokus memberi vaksin kepada rakyat AS selepas negara itu menjadi antara yang paling teruk terjejas akibat koronavirus.
Pentadbiran AS percaya untuk mengakhiri pandemik ini, virus itu perlu dihapuskan di seluruh dunia, kata White House.
Biden dikecam susulan pentadbirannya mengarahkan rakyat AS mendapatkan suntikan dos penggalak bermula September, dan pihak berkuasa berkata kapasiti yang ada cukup, walaupun sumbangan masih diberi kepada negara luar.
Penghantaran terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan vaksin dihantar ke Afrika kepada lebih 25 juta dos.
Kurang 2% daripada individu di seluruh benua itu yang mendapat vaksin penuh, dengan sebahagian negara terpaksa memusnahkan dos yang tidak digunakan kerana mereka kekurangan infrastruktur kesihatan untuk memberikan suntikan atau ada juga negara berdepan masalah rakyat enggan divaksin. – AFP, 27 Ogos, 2021.
Komen