Ketua balai polis Thai ditahan dera tahanan


Thitisan Utthanaphon (kiri) ditahan selepas menyerah diri dan ditahan di Chon Buri. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2021.

SEORANG ketua balai polis Thailand yang diburu susulan beliau didakwa menyeksa dan mencekik seorang suspek kes dadah hingga mati, menyerah diri semalam.

Polis menyerbu rumah agam milik Thitisan Utthanaphon, 41, di Bangkok pada Rabu dan menemui 13 kereta mewah, lapor media tempatan

Polis mengesahkan pada sidang akhbar lewat malam tadi, Thitisan atau nama jolokannya “Joe Ferrari” selepas menyerah diri dan ditahan di Chon Buri.

“Kami akan menunjukkan kepada masyarakat yang kami tidak lindungi pesalah,” kata Ketua Polis Negara Suwat Jangyodsuk kepada media, menambah enam pegawai polis lain turut ditahan.

“Semua orang akan dilayan sama rata di bawah sistem perundangan. Organisasi polis perlu wujud dengan kepercayaan rakyat.”

Thitisan berkhidmat sebagai ketua balai di daerah utara Nakhon Sawan, dan beberapa rakan setugasnya turut berdepan pertuduhan jenayah selepas satu rakaman video kematian seorang tahanan menjadi tular di media sosial.

Klip video itu menunjukkan sekumpulan lelaki – dikatakan termasuk Thitisan – membungkus beg plastik di kepala suspek ketika menyoal siasatnya pada 5 Ogos.

Suspek kemudian pensan dan beberapa pegawai cuba menyedarkannya.

“Pihak pendakwa bebas sepenuhnya daripada polis Thailand amat diperlukan untuk keadilan,” kata Pengarah Human Rights Watch Asia Brad Adams.

Polis awal minggu ini dalam siasatannya berkata ketua balai itu disyaki menyebabkan kematian lelaki dalam tahanan berkenaan ketika cuba mendesak bayaran dua juta bath (AS$61,000).

Dalam satu sidang akhbar, Thitisan menjawab soalan media menerusi telefon bimbit dan menafikan beliau cuba memeras ugut dan meminta wang.

“Saya tidak berniat untuk bunuh dia, apa yang berlaku adalah kemalangan,” kata Thitisan. – AFP, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen