JEPUN menghentikan penggunaan 1.63 juta dos vaksin Covid-19 jenis Moderna selepas laporan berlaku pencemaran dalam beberapa bebuli, kata syarikat Takeda dan kementerian kesihatan.
Takeda yang menyelaras jualan dan agihan suntikan Moderna di Jepun berkata ia menerima laporan daripada beberapa pusat pemberian vaksin, bendasing ditemui di dalam bebuli vaksin yang belum dibuka.
“Selepas berbincang dengan kementerian kesihatan, kami buat keputusan menghentikan seketika penggunaan vaksin itu buat masa ini,” katanya.
Syarikat itu berkata ia sudah memaklumkan Moderna dan menggesa siasatan segera dilakukan.
Dalam satu kenyataan, Moderna berkata laporan itu berkaitan dengan pencemaran membabitkan satu lot produk yang dihantar ke Jepun.
“Moderna percaya ada masalah pembuatan terhasil dalam salah satu kumpulan produk di lokasi pembuatan di Sepanyol. Setakat ini tidak ada isu keselamatan atau keberkesanan dikesan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, Moderna menangguhkan dulu penggunaan dan agihan kumpulan itu,” katanya tanpa memperincikan jenis pencemaran.
“Kami belum ada menerima laporan masalah kesihatan berpunca daripada objek asing itu,” kata jurucakap kerajaan Katsunobu Kato.
“Tetapi kami minta orang ramai berjumpa doktor jika mengalami keadaan yang tidak normal.”
Bendasing ditemui di dalam 39 bebuli yang belum dibuka di lapan lokasi pemberian vaksin di tengah Jepun termasuk Tokyo, menurut stesen televisyen NHK.
Kementerian pertahanan berkata dos itu adalah daripada kumpulan yang diterima dan diberikan kepada orang ramai antara 6 hingga 20 Ogos di pusat pemberian vaksin besar di Osaka. – AFP, 27 Ogos, 2021.
Komen